Rajah Farah

Sudah lama tidak melihat kemunculan si cantik ini di kaca televisyen mahupun di layar perak.

Selepas mendirikan rumah tangga, karier Raja Farah sebagai pelakon dilihat semakin malap bukan kerana tidak mendapat tawaran berlakon, tetapi wanita ini sibuk menguruskan perni-agaan keluarganya.

Sebaik sahaja mengetahui kelibat pelakon ini sering dilihat di Metro Point Kajang, Zass mengintai peluang untuk bertemu si cantik ini.

Benarlah seperti dikhabarkan, pelakon Aku Masih Dara ini sudah bergelar ahli perniagaan.

Dilihat semakin berseri-seri, Raja Farah yang mesra disapa Farah mengakui dirinya kini lebih bahagia dengan kerjaya baru yang semakin diminati.

Pun begitu, pelakon ini memberitahu, kecintaannya terhadap bidang lakonan tidak pernah padam, cuma masanya kini lebih banyak dihabiskan di kafe Snogurt bagi membantu bapanya menguruskan perniagaan.

Mendengar nama kafenya sahaja, sudah terdetik di fikiran pastilah ia mempunyai kaitan dengan trend pema-kanan sekarang iaitu yogurt sejuk beku ataupun frozen yogurt (froyo).

Menurut Farah, kafe Snogurtnya itu menyediakan froyo sebagai sajian utama sesuai dengan kehendak pasaran sekarang yang gemar menjadikan yogurt sebagai makanan sampingan.

Teruja bercerita mengenai karier barunya itu, Farah memberitahu telah lama memendam hasrat untuk melibatkan diri dalam dunia perniagaan.

Umpama pucuk di cita ulam mendatang, impian Farah itu terlaksana apabila pada pertengahan tahun lalu, ayahnya menyuarakan ingin mencari satu perniagaan untuk dibuka.

“Peluang itu tidak saya lepaskan apabila ayah memberitahu ingin membuka satu bisnes keluarga sebaik sahaja dia bersara Julai tahun lalu.

“Justeru itu, saya mula mencari perniagaan bersesuaian dengan kehendak pasaran sekarang sekali gus menepati modal yang kami peruntuk,” katanya yang mengambil masa lebih dua bulan untuk membuat keputusan memilih Snogurt.
Pilih jadi francaisi

Sedar dirinya kurang pengalaman dalam menguruskan bisnes, Farah mengambil keputusan memulakan perniagaan francaisi.

Setelah mengambil kira beberapa faktor, akhirnya Farah mencadangkan bisnes Snogurt kepada ahli keluarganya.

“Sebaik sahaja ayah memberitahu untuk membuka perniagaan, saya telah meninjau beberapa bisnes francais yang ada di negara ini. Saya rasa lebih selamat untuk kami memulakan perniagaan francais memandangkan francaisor kami boleh memberi tunjuk ajar menjalankan bisnes ini.

“Alhamdulillah, setelah menimbang kira beberapa perkara, kami sekeluarga bersetuju unmembuka Snogurt kerana saya rasa mudah dan senang menguruskan perniagaan makanan ini. Lagi pula, saya belum ada keyakinan membina tapak perniagaan sendiri,” katanya.

Mengambil masa tiga minggu untuk melakukan pengubahsuaian kedai, kafe Snogurt milik Raja Farah dan keluarga dibuka pada 30 Disember tahun lalu.

Belum pun cukup sebulan beroperasi, kafenya itu menerima sambutan menggalakkan biarpun brand Snogurt masih baru di negara ini.

“Ada juga di kalangan pelanggan yang datang tidak pernah mencuba froyo. Jadi inilah masanya untuk saya memperkenalkan froyo kepada mereka kerana seperti kita tahu yogurt rasanya masam.

“Saya akan mencadangkan perasa manis atau masam mengikut apa yang mereka mahukan,” katanya yang menerima kunjungan pelanggan berbangsa Melayu, Cina dan India.

Menurut Farah, hampir setiap hari dia berada di kafe tersebut bagi memudahkan peminat yang ingin berjumpa dengannya.

“Ada juga di kalangan pelanggan datang ingin bergambar dan berbual-bual dengan saya. Jadi, saya rasa tiada salahnya untuk meluangkan masa dengan mereka.

“Pada pendapat saya, inilah masanya untuk saya meminta komen daripada mereka mengenai perniagaan saya ini,” katanya lagi.


Suami beri dorongan

Lebih setahun mendirikan rumah tangga bersama Megat Bashirun Qayyum Datuk Zakaria, Farah bersyukur dikurniakan suami yang begitu memahami minatnya.

Tambah pelakon yang berusia 24 tahun ini, minatnya kepada bidang perniagaan sedikit sebanyak didorong oleh suaminya yang juga merupakan seorang ahli perniagaan.

“Sewaktu awal perkahwinan, saya sering mengikut suami berjumpa client dan kadangkala menghantar tender kepada pelanggan. Bermula dari situ, saya seronok bergiat dalam bidang ini.

“Tambahan pula, keluarga saya memang merancang membuka bisnes keluarga. Jadi, peluang yang ada tidak ingin kami sia-siakan,” katanya.

Mengulas mengenai kesukaran meluangkan masa dengan keluarga dan kerjaya, Farah berkata, tumpuannya kepada keluarga tidak pernah terganggu biarpun sibuk menguruskan perniagaan.

“Biasanya jika tiada penggambaran, saya akan pergi ke kafe pada awal pagi dan pulang sekejap ke rumah pada waktu tengah hari bagi menguruskan kerja-kerja rumah.

“Selepas selesai, saya akan datang balik ke kafe dan pulang semula ke rumah selepas Isyak untuk makan malam bersama suami. Kadangkala, suami akan datang ke kafe untuk menjenguk perjalanan bisnes di sini,” katanya yang kini mengurangkan aktiviti seni bagi memberi tumpuan kepada bisnes.

Bercerita mengenai lokasi kafenya yang terletak di Kajang, Farah berkata, dia dan suami sengaja memilih Kajang memandangkan lokasi tersebut berhampiran dengan tempat tinggal mereka.

Farah tidak menolak tanggapan statusnya sebagai selebriti membantu menaikkan nama perniagaannya terutama di kalangan peminatnya sendiri.


Mesra dengan pelanggan

Menyedari pentingnya pelanggan untuk mengembangkan lagi perniagaannya itu, Farah menerapkan kepada kakitangannya untuk beramah mesra dengan pelanggan.

Perkara itu turut dipraktikkan oleh pelakon yang berasal dari Shah Alam ini sendiri apabila setiap kali ada pelanggan datang ke kafenya, dia mengalu-alukan kedatangan dan mengucapkan selamat datang kepada pelanggan.

“Pada saya, dengan beramah mesra dapat membuatkan mereka senang untuk datang ke kedai kita.

“Pengalaman sebagai pelanggan sebelum melibatkan diri dalam dunia perniagaan ini membantu saya mengetahui apa kehendak pelanggan yang sebenar,” katanya.

Selain menerapkan amalan mesra, Farah turut mementingkan kebersihan kafe yang baginya merupakan teras utama untuk pelanggan berkunjung makan di situ.

“Saya juga kerap menasihatkan kakitangan saya untuk mengamalkan membaca selawat setiap kali memotong buah ataupun membuat bancuhan untuk froyo,” katanya.

Namun, Farah mengaku kadangkala dirinya terlepas pandang dengan beberapa aspek lain kerana sibuk menguruskan hal di dapur.

Mujurlah ada ibunya yang kadangkala turut datang ke kafe untuk membantu Farah menguruskan bisnes.

Seperti yang dikatakan oleh Farah, perniagaan yang diuruskan itu merupakan bisnes keluarga, jadi tidak hairanlah kadangkala, ayahnya juga akan turut berada di situ bagi memantau perjalanan bisnes tersebut.

Menurut Farah, sekiranya perniagaan yang satu ini menunjukkan perkembangan yang baik, dia berkemungkinan akan membuka satu lagi cawangan Snogurt yang lain.