KUALA LUMPUR - Skim Pembiayaan Khas bagi perumahan awam akan mula beroperasi 1 Mac ini bagi membantu mereka yang berminat memiliki rumah di kawasan ibu negara.
Skim itu dilaksanakan di bawah Program Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR-MTEN) dan juga Perumahan Awam DBKL.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Jemaah Menteri pada 18 Januari lepas bersetuju dengan skim itu yang dicadangkan Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar.
Beliau berkata, ia akan dikendalikan Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan dengan dana pembiayaan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Melalui skim khas ini, masalah memperoleh pinjaman diyakini dapat diatasi dan membantu keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah.
"Saya yakin melalui skim ini, bakal pembeli akan lebih mudah membeli dan memiliki rumah serta dapat mengatasi pelbagai kerenah dalam memperoleh pinjaman yang dihadapi selama ini," katanya pada majlis pelancaran Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2012 di Dataran Merdeka di sini semalam.
Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Najib berkata, Wilayah Persekutuan adalah cerminan wajah masa depan Malaysia dan ia perlu menjadi contoh terbaik kepada bentuk perancangan pembangunan yang menyeluruh dan bertanggungjawab serta pelaksanaan pembangunan dengan amalan terbaik.
menarik juga, adakah masih perlu mendaftar dengan DBKL
ReplyDelete