Monday, January 30, 2012

Ilham pereka muda



GEMERLAPAN malam Persembahan Fesyen 2012 pelajar tahun akhir Fakulti Seni dan Rekaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ternyata menyerlahkan empat rekaan busana milik Nurul Akma Abdul Latif, 25. Dia dinobatkan sebagai pereka fesyen terbaik pada majlis itu yang berlangsung di Black Box, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berbekalkan rekaan berwajah elegan klasik, Akma memberitahu rekaannya berinspirasikan Lancang Kuning iaitu sebuah kisah legenda pelayaran seorang puteri raja dan juga ciri-ciri yang terdapat pada layar kapal itu.

“Melalui inspirasi berkenaan, saya menghasilkan empat rekaan berbeza tetapi mempunyai konsep yang sama iaitu sut dan semi-tailored yang tampil elegan klasik.

“Bagi memperincikan rekaan ini, saya menggunakan teknik lisu, lipatan, lapisan dan potongan kemas,” jelas anak jati Negeri Sembilan itu.

Menurut Akma, bagi membuat rekaan berkenaan, dia menggunakan fabrik sut yang sesuai dengan konsep yang diperkenalkan iaitu kain sut plaid dan wool.

“Saya menghabiskan masa selama satu semester atau enam bulan untuk menyiapkan koleksi ini memandangkan ia adalah projek akhir.


REKAAN pelajar tahun akhir Fakulti Seni dan Rekaan, Universiti Teknologi Mara ini setaraf dengan rekaan pereka fesyen yang sedia ada dalam industri.


“Dalam tempoh tersebut, saya membuat kajian, membangunkan idea, melakukan proses jahitan dan seterusnya menghasilkan projek itu,” katanya.

Dalam menghasilkan rekaan terbaik katanya, cabaran yang paling ketara adalah pada peringkat perkembangan idea kerana dia perlu mentafsirkan ciri-ciri layar berkenaan sebelum boleh menghasilkan satu-satu rekaan seperti yang dimahukan.

“Impian saya dalam bidang ini sudah tentu untuk mempunyai label saya sendiri pada masa akan datang.

“Namun sebagai permulaan, saya akan mengaut sebanyak mungkin pengalaman bekerja bersama pereka fesyen berpengalaman dari rumah fesyen sedia ada,” katanya yang menjadikan pereka fesyen Perancis, John Galliano sebagai idola kerana meminati rekaannya yang unik.

Sementara itu, dengan menggunakan konsep siap dipakai, perantis pereka fesyen, Mohd. Yazid Mohd. Jamil, 26, yang menduduki tempat kedua memberitahu, dia memilih konsep berkenaan kerana ia mudah dikomersialkan dan boleh disuai padan untuk pelbagai majlis.

“Bagaimanapun, saya mementingkan perincian. Oleh itu, dalam empat rekaan ini saya memfokuskan kepada manipulasi pola, tekstur seperti lipatan, krep, lapisan dan putaran fabrik sutera organza dan olahan daripada tekstur bunga lawang.


EKSPERIMENTASI rekaan bersifat futuristik seringkali dipertontonkan pelajar bagi menunjukkan kefahaman mereka tentang fesyen.


“Saya gemarkan sesuatu yang bertekstur,” katanya.

Dalam pada itu katanya, bagi mencipta koleksi berkenaan juga, dia menggunakan fabrik yang bersesuaian iaitu sutera organza, krep, kain kapas voile dan kain kapas khakis untuk celana pendek.

“Saya mengambil masa selama empat bulan untuk menyiapkan koleksi ini.

“Cabaran terbesar untuk menyiapkannya adalah untuk mengejar tarikh akhir sedangkan proses penghasilan memerlukan masa yang lama khususnya untuk menyiapkan perincian,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Yazid memberitahu proses membuat tekstur daripada sutera organza di panel dres terakhir mengambil masa selama seminggu.

“Justeru untuk menyiapkan perincian semua koleksi memerlukan masa yang lama selain memastikan setiap panel yang dihasilkan dijahit dengan kemas dan selari.


SETIAP rekaan kesemua 36 pelajar yang terlibat pada persembahan ini dinilai empat panel dari luar yang dilantik oleh pihak fakulti.


“Saya mahu menghasilkan rekaan yang tidak mengecewakan sebagaimana idola saya iaitu Haider Ackermann dan Alexander McQueen kerana koleksinya tidak pernah mengecewakan.

“Malah, setiap rekaan mereka begitu artistik tetapi masih mengekalkan signatur gaya yang tersendiri,” jelas anak jati Perak ini.

Dalam pada itu, Mohd. Faisal Roslan, 23, yang berasal dari Kelantan dan menduduki tempat ketiga, mempertaruhkan konsep semangat pahlawan yang diinspirasikan oleh pahlawan legenda Melayu.

“Perincian untuk rekaan koleksi saya kali ini ialah potongan pakaian yang boleh dipelbagaikan. Perincian pada pakaian iaitu motif keris di atas kain kulit dibuat menggunakan teknik potongan laser.

“Fabrik yang saya gunakan pula ialah kain sut, kulit dan likra,” katanya yang menyuntik inspirasi Laksamana Hang Tuah ke dalam rekaannya.

Menurut Faisal, untuk menyiapkan rekaan itu dia mengambil masa selama hampir empat bulan bermula dengan proses melakar rekaan dan membuat contoh pakaian sebelum membuat pakaian sebenar.


FABRIK sut seperti kain sut plaid dan wool digunakan bagi menterjemahkan rekaan pemenang pertunjukan ini.


“Proses yang memakan masa ialah ketika mahu mendapatkan bentuk atau siluet yang boleh dipelbagaikan gayanya selain membuat motif pada kain kulit menggunakan teknik potongan laser,” ujarnya.

Selain bersungguh-sungguh menghasilkan rekaan berkenaan, Faisal turut mempunyai impian untuk mengeluarkan jenama pakaian sendiri.

“Saya juga mungkin menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi untuk mendalami ilmu fesyen.

“Saya menjadikan pereka fesyen Haider Ackermann sebagai idola saya kerana dia mencipta identiti yang hebat dalam setiap rekaannya. Dia membuatkan saya teruja untuk melihat setiap hasil karyanya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: