Sunday, January 29, 2012

Cakap Jawa di Melbourne



TANAH dan udara Melbourne tidak sekali-kali menghakis sari kemelayuan daripada wajah gadis berambut ikal ini. Sudah dua tahun dia berkelana ke bumi Australia demi mengisi segunung ilmu di dada.

Dia masih Ummi Nazeera dengan lenggok keanak-anakannya meskipun usianya kini menjengah 22 tahun.

Apa yang berbeza cuma senyumannya semakin melebar. Tambah manis lagi tuturnya tersusun elok.

Ummi pulang ke tanah air sejak Disember lalu dan pantas dia disunting untuk berlakon di layar lebar sekali gus mengubat kerinduan peminat. Apatah lagi kemunculan terakhir Ummi ialah semasa mempromosikan filem Hikayat Merong Mahawangsa.

"Saya sedang bercuti semester selama tiga bulan selepas menduduki peperiksaan akhir.

"Kesempatan bercuti panjang kali ini saya rebut dengan menerima tawaran berlakon filem Penanggal arahan Ellie Suriati," tutur Ummi lembut.

Skrip filem itu diutus berbatu-batu ke tempat Ummi belajar di Institut Teknologi Diraja Melbourne (RMIT) setelah kata sepakat diputuskan sejak Oktober lagi.

Apa istimewanya Ummi yang kali terakhir tampil dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah itu? Pengarah filem itu, Ellie pernah berkata bahawa Ummi bertuah kerana dianugerahkan bakat lakonan yang besar.

Mereka saling memuji. Ellie mengagumi wajah kemelayuan Ummi. Ummi pula terkesan dengan kuasa luar biasa Ellie dalam menghayati setiap watak lakonannya.

"Saya bertuah kerana ditawarkan berlakon untuk filem ini. Saya tahu siapa pengarah dan penerbitnya. Mereka bukan calang-calang orang.

"Jujurnya ada perasaan takut untuk kembali ke set penggambaran kerana saya sudah dua tahun tidak memegang skrip. Naskhah ini (Penanggal) adalah sesuatu yang baharu buat saya.

"Mujurlah saya mendapat banyak tunjuk ajar daripada pengarah. Pulang ke tanah air, selepas berehat selama dua hari saya terus mengikuti sesi latihan selama tiga hari.

Murni

"Seterusnya menjalani penggambaran sehingga kini," ujar penuntut bidang perniagaan dan pemasaran itu.

Penanggal yang menelan kos kira-kira RM2.1 juta memulakan penggambarannya selama 50 hari sejak 10 Disember lalu hingga semalam.

Antara lokasi penggambaran yang kebanyakannya dilatari kawasan belukar itu melibatkan Melawati dan Hulu Langat di Selangor, Kuala Kangsar, Ipoh dan Trong di Perak serta Pantai Penarik, Terengganu.

Ummi tidak mahu mensia-siakan peluang. Dia sebolehnya ingin menghargai ruang itu untuk mengekspresi sebaik mungkin watak Murni yang merupakan seorang gadis kampung sekali gus menggalas peranan sebagai hantu penanggal.

"Memegang watak Murni memerlukan saya bermain dengan pelbagai jenis emosi.

"Saya akui bahawa begitu sukar untuk melontarkan perasaan tatkala berdepan dengan sebuah perpisahan dengan penjaga Murni iaitu Pak Khadam.

"Untuk berubah daripada watak Murni menjadi penanggal menuntut kesabaran yang besar," ulas Ummi mengenai cabaran terbesar dalam filem yang dibarisi oleh Azri Iskandar, Fasha Sandha dan Datuk Sharifah Aini itu.

Memasukkan semula jiwa lakonan ke tubuh yang sudah terbiasa dengan buku akademik, persediaan meladeni watak Murni dibuat sejauh beribu batu dari tanah air sendiri.

Sebelum masuk ke sesi latihan 'rasmi' bersama pengarah dan pelakon lain, Ummi seawal-awalnya kreatif mencari ruang persediaan, apatah lagi filem hasil kolaborasi dua buah syarikat perfileman besar, Astro Shaw dan Grand Brilliance itu memerlukan Ummi bertutur dalam bahasa Jawa.

Dia bertemu rakan-rakan dari Indonesia yang fasih berbahasa Jawa untuk memberi tunjuk ajar.

Dalam pertemuan sebanyak tiga kali bersama seorang rakan, Amir Mohid ketika di sana, lidah Melayu Ummi mula serasi bertutur bahasa Jawa.


UMMI NAZEERA mahu memecahkan fokusnya kepada dua, lakonan dan bisnes sehabis pengajian kelak.


"Ketika di sana (Melbourne) lagi saya sudah belajar cakap Jawa dengan seorang rakan kerana ikut tuntutan skrip, saya perlu bertutur dalam bahasa tersebut.

"Bila tiba di Malaysia saya sekali lagi berguru dengan penulis skrip filem ini iaitu Yus Waisar untuk memperelokkan pertuturan bahasa Jawa saya," terang Ummi.

Mekar senyum di bibir gadis kelahiran Kuala Lumpur itu semakin mewangi. Seraya mengakui ada kumbang sedang hinggap di taman hatinya, Ummi enggan memendam kebahagiaan yang sedang merendang di sangkar jiwa.

Cerita Ummi, dia mengenali jejaka berusia 26 tahun itu ketika sama-sama menuntut di universiti tersebut sejak dua tahun lalu.

"Benar saya sedang bercinta dengan seseorang. Tetapi tidak manis bagi saya sebagai seorang perempuan untuk bercerita banyak mengenai perkara ini.

Jejaka Selangor

"Kami sudah bertemu keluarga masing-masing untuk berkenalan dan berbincang. Tetapi saya belum memutuskan untuk menamatkan zaman bujang dalam tempoh terdekat kerana saya masih muda dan belum tamat pengajian," tutur Ummi tanpa selindung.

Bercerita lanjut, jejaka yang berasal dari Selangor itu merupakan bekas penuntut dalam bidang kejuruteraan dan baru sahaja selesai menjalani majlis konvokesyen.

Sama-sama di Negara Kanggaru, mencari ilmu dan mengenali hati budi, ternyata lelaki baharu itu sudah banyak menenggelamkan kisah luka yang pernah melanda dirinya sedikit masa dahulu.

Menyambung ceritanya, kata Ummi, semester baharu yang bakal bermula Februari nanti akan memunculkan juga episod baharu buat dirinya. Si pengarang jantung sudah pun kembali ke Malaysia kerana telah tamat pengajian.

Segera melenyapkan kebimbangan, kata Ummi: "Dia sudah berjanji, sekali-sekala dia akan terbang menjenguk saya di sana."

Masih berbaki dua tahun, sehabis sahaja pencarian segulung ijazah pemasaran perniagaan yang didamba, anak bongsu daripada dua beradik ini memutuskan untuk terus aktif berlakon. Benar, akan sia-sialah ilmu yang ditimba selama bertahun-tahun itu jika tidak disalurkan ke bidang yang berkaitan, untuk itu, portfolionya bakal dipecahkan kepada dua cabang.

"Saya akan menggunakan pengetahuan yang dipelajari untuk bekerja dalam bidang berkaitan, tolong ibu menguruskan perniagaan tetapi ia tidak bermakna saya akan berhenti berlakon.

"Mungkin saya akan menerima dua atau tiga tawaran berlakon sahaja dalam setahun. Selebihnya saya ingin menumpukan kerjaya saya dalam bidang perniagaan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: