Monday, January 30, 2012

Flat nyamuk

MELEKAT...Tarmizi menghalau nyamuk di dinding rumahnya.
MELEKAT...Tarmizi menghalau nyamuk di dinding rumahnya.

KUALA LUMPUR: “Kami ibarat berkongsi tempat tinggal dengan nyamuk apabila ia memenuhi ruang rumah terutama dinding dan semakin lama makin bertambah.

“Lebih teruk, serangga ini tidak berganjak dan melekat di dinding walaupun dihalau berulang kali,” kata Pengerusi PPR Cempaka, Pantai Dalam, dekat sini, Tarmizi Mat Amin.


Menurutnya, difahamkan kejadian serangan nyamuk di flat berkenaan berlarutan dua bulan lalu dipercayai berpunca dari loji kumbahan berhampiran selepas pemaju menutup pam bagi meneruskan pembinaan projek landskap.

Katanya, pelbagai cara dilakukan penduduk untuk menghalau nyamuk berkenaan, namun ia semakin bertambah serta melekat di dinding dan kenderaan di sekitar flat berkenaan.


“Penduduk tidak tahan kerana sejak ‘kehadiran’ nyamuk, ramai penghuni mengalami deman berulang terutama kanak-kanak dan warga emas manakala kulit berbintik merah.


“Meskipun kawasan ini belum ada kes denggi, tetapi jika dibiarkan tidak mustahil berlaku dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui.Tinjauan Harian Metro mendapati serangga itu tidak hanya berterbangan sekitar flat, malah turut hinggap pada dinding dan siling seolah-olah tempat itu sarangnya.


Keadaan itu menimbulkan kerisauan penghuni kerana jumlahnya banyak dan tidak hanya muncul pada waktu malam, malah pada siang hari.

Penghuni, Abdul Razak Ili, 43, berkata sudah banyak kali aduan dikemukakan kepada pemaju namun hingga sekarang masih tiada tindakan dibuat menyebabkan penduduk buntu untuk menghalau serangga berkenaan.


“Sepanjang tiga tahun menetap di sini, masalah itu tidak pernah berlaku, ini kali pertama kami berdepan kehadiran nyamuk dan yakin ia berpunca dari loji terbabit.


“Sepatutnya pemaju meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik dalam loji bagi mengelakkan ia membiak dan semburan asap (fogging) dilakukan secara berkala selepas loji itu ditutup sejak enam bulan lalu,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Beijing Enterprises Water Group Limited China (BEWG), Amirul Rahman Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima aduan berhubung masalah dihadapi penduduk dan langkah sewajarnya sudah diambil bagi mengatasi perkara berkenaan.


Katanya, BEWG akan meneliti perkara itu dan melakukan semburan asap dalam tempoh terdekat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: