Monday, January 30, 2012

Rona terang wanita gempal


TALI pinggang merupakan aksesori penting buat wanita berisi kerana ia mampu membuatkan tubuh badan tampak lebih langsing.


SINONIM di atas pentas peragaan, khalayak pengikut aliran fesyen seringkali disajikan dengan model-model wanita bertubuh langsing. Jarang sekali jenama-jenama pakaian mengetengahkan wanita bersaiz gempal sebagai peragawati.

Berani mengubah dimensi biasa itu, jenama terkemuka Flow membenarkan sekumpulan model wanita yang bertubuh 'berisi' mengisi pentas peragaan mereka baru-baru ini.

Bertempat di Pavilion, Kuala Lumpur, Flow mempersembahkan koleksi Musim Bunga/Panas 2012 mereka. Menjunjung tema gaya hidup jetsetter (mewah), koleksi terbaharu Flow kali ini difokuskan kepada wanita berbadan gempal.

Siapa kata hanya warna gelap seperti hitam wajar dipakai golongan wanita dengan fizikal sebegitu? Buangkan persepsi skeptikal itu dan usah peduli dengan perspektif orang seterusnya yakinlah dengan diri sendiri!

Inspirasi zaman 1970-an dengan warna-warna terang dan ceria menjadi taruhan Flow. Rekaan-rekaan kali ini dilihat didominasi oleh rona merah jambu dan jingga serta banyak berpusat kepada corak flora bercetak.

Tiada yang ganjil sebenarnya apabila melihat seorang wanita bertubuh gempal dalam persalinan rona terang, malah ia menunjukkan bahawa si pemakai selesa dengan tubuh badannya.

Turut mencuri tumpuan ialah dres labuh dengan corak kulit haiwan seperti kuda belang dan harimau bintang.

Bagi mereka yang memiliki tubuh 'berisi', usah gusar menggayakan dres sendat kerana ia tidak akan kelihatan terlalu padat dan potongan pinggang masih dapat dilihat.

Namun, mereka yang bertubuh lebih gempal perlu mengelakkan pakaian sendat dan wajar memilih dres sedikit longgar agar bentuk tubuh badan tidak kelihatan terlalu ketara.


GABUNGAN blaus longgar rona terang dengan seluar warna polos menonjolkan keyakinan wanita berisi.


Percantuman rona-rona garang menyerlahkan keyakinan si pemakai. Jika mahukan pinggang kelihatan lebih langsing, aksesori seperti tali pinggang besar menjadi pilihan tepat untuk dipadankan dengan dres.

Blaus longgar dengan perincian manik-manik pada bahagian dada turut menimbulkan elemen anggun dalam diri seorang wanita bertubuh gempal.

Gabungan blaus jenis itu dengan jean atau seluar dengan potongan kembang di penghujung kaki akan membuatkan si pemakai tampak santai namun tetap stailo.

Seleksi pakaian Flow boleh didapati pada harga di antara RM89 hingga RM299. Saiz yang ditawarkan kepada pelanggan adalah daripada ukuran 8 (AS) iaitu 10/12 (UK) hingga 18 (AS) iaitu saiz 20/22 (UK).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: