SHAH ALAM: Pelakon Irma Hasmie menjelaskan dia tidak pernah berputus asa dalam mencari jodoh buat dirinya selepas gagal dalam percintaan dengan pelawak Nabil.
Irma berkata, dia seboleh-bolehnya ingin segera mendirikan rumah tangga kerana usianya sudah mencecah 30 tahun.
"Walaupun saya seorang perempuan tetapi rasanya tidak boleh duduk berpeluk tubuh menunggu jodoh itu datang kerana kita perlu berusaha mencarinya.
"Tetapi masih belum sampai masa untuk bertemu dengan seseorang yang betul-betul sesuai dengan saya," ujarnya kepada mStar Online.
Irma juga tidak menafikan, mengenali seorang jejaka tetapi hubungan tersebut terputus kerana tiada keserasian.
Ujarnya, dia bagaimanapun tidak berputus asa dan akan terus mencari lelaki yang sesuai untuk dijadikan sebagai pembimbing hidupnya.
"Jika dulu sebelum berhijrah tumpuan dan kehendak adalah berbeza dan selepas memakai tudung juga berlainan.
"Bukan memilih tetapi hanya lebih berhati-hati tambahan pula dengan peristiwa lalu yang membuatkan diri ini serik," katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai hubungannya dengan pereka fesyen, Ezuwan Ismail yang sentiasa menemaninya di majlis-majlis rasmi, Irma berkata hubungan mereka adalah sebagai kawan baik dan tidak lebih daripada itu.
Dia sentiasa bersama Ezuwan kerana pereka fesyen itu sering mereka baju untuknya bagi menghadiri acara-acara hiburan.
"Baju pertama yang direka oleh Ezuwan adalah untuk saya dan semenjak itu saya selesa menggunakan khidmatnya dan hubungan itu bertukar menjadi sebagai seorang kawan," katanya.
Bercakap mengenai perkembangan kerjaya, Irma berkata dia sedang sibuk di lokasi penggambaran drama Jujur Aku Dayus di samping pelakon jelita, Nora Danish untuk siaran TV3.
Selain itu, dia juga baru selesai penggambaran drama berantai 26 episod berjudul Sepiluh Cinta yang bakal ditayangkan di saluran iTV.
"Alhamdulilah rezeki dalam bidang lakonan masih ada dan saya masih diterima dalam bidang ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: