|
|
KEINGINAN mendalam untuk menguji keupayaan diri adalah faktor utama sukan wall climbing menjadi pilihan kebanyakan individu yang mahukan cabaran.
Malah, ada yang sanggup mengambil risiko kecederaan semata-mata kerana cinta yang kuat terhadap sukan ekstrem ini.
Bagi pemenang pingat perak wall climbing Sukan SEA 2011, Khairul Hafiz Abu Hassan, risiko tidak langsung menjadi penghalang buat dirinya.
Katanya, wall climbing adalah sukan yang istimewa berbanding sukan lain kerana mempunyai elemen cabaran yang mampu menyukat tahap keupayaannya.
Dalam sukan lain katanya, kita perlu bersaing dengan lawan untuk mencari kemenangan, sedangkan dalam wall climbing kita mencabar diri sendiri untuk menang.
Wall climbing juga adalah aktiviti mingguan Hafiz dan dia tidak pernah jemu melakukannya ketika mempunyai masa terluang.
“Inilah aktiviti saya ketika masa terluang, malah saya anggap ia sebagai salah satu daripada latihan tambahan buat saya.
“Saya rasa tidak lengkap jika tidak melakukan aktiviti ini kerana ia juga adalah sebahagian daripada diri saya.
“Dalam wall climbing, kita perlu mengutip sebanyak mungkin pengalaman kerana ia amat berguna apabila menghadapi kejohanan.
“Adalah amat penting untuk saya mengenali dan merasai setiap bentuk hold (batu tembok tiruan) yang ada jika mahu mendapatkan keputusan yang baik.
“Lagi kerap kita melakukan aktiviti ini, ia akan memberi kelebihan untuk membantu kita memanjat dengan lebih baik.
“Saya anggap wall climbing ini umpama permainan puzzle yang perlu diselesaikan dalam masa yang ditetapkan.
“Apabila apabila anda dapat menghayatinya, barulah anda memahami keseronokannya,” kata Hafiz.
Dalam pada itu, Hafiz berkata, antara tempat pilihan yang sering menjadi tumpuannya untuk aktiviti tersebut ialah di Madmonkey Climbing Club yang terletak di Wangsa Maju.
“Di tempat ini anda boleh untuk menguji keupayaan melalui dinding mereka yang pelbagai dan hold yang bermacam bentuk.
“Di sini juga saya akan berkongsi ilmu dengan rakan-rakan bagi membolehkan mereka mendapat pengetahuan berguna,” kata Hafiz.
Kejohanan besar yang bakal disertai jejaka kelahiran Terengganu itu selepas ini adalah Kejohanan Dunia di Paris, September ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: