PADA Januari 2000, gelanggang utama di Pusat Tenis Melbourne Park yang merupakan venue kejohanan Grand Slam termasyhur, Terbuka Australia secara rasmi ditukar nama kepada Arena Rod Laver.
Bukan calang-calang orang boleh mendapat penghormatan setinggi itu, apatah lagi Terbuka Australia antara empat kejohanan Grand Slam yang saban tahun menjadi tumpuan pemain handalan dunia.
Kejohanan itu melengkapi kalendar Grand Slam yang dianggap kejohanan dunia atau Sukan Olimpik tenis bersama Terbuka Perancis, Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat.
Jika Terbuka Perancis dimainkan di gelanggang tanah liat terkenal, Roland Garros, Wimbledon di kelab tenis tertua dunia, All England dan Terbuka Amerika Syarikat di Arena Billie Jean King, Arena Rod Laver melengkapi gelanggang-gelanggang terhebat dunia.
Rod Laver atau nama sebenarnya, Rodney George "Rod" Laver memang berhak mendapat penghormatan itu kerana sehingga hari ini, dia masih memegang status pemain terbaik dalam sejarah tenis Australia, malah di kalangan peminat tenis, dia dianggap individu terhebat sepanjang zaman.
Dilahirkan di Rockhampton, Australia pada 9 Ogos, 1938, Laver pernah memenangi semua empat kejuaraan Grand Slam dalam satu musim, malah lebih hebat lagi dia memenanginya ketika memegang dua status berbeza - profesional dan amatur.
Sebagai amatur, dia mencipta kejayaan hebat itu pada 1962, sebelum mengulanginya sebagai profesional pada 1969, pencapaian yang sehingga hari ini tidak mampu dilakukan mana-mana pemain. Dan, atas kejayaan itu jugalah peminat menganggap dia sebagai individu terhebat.
Laver masih seorang budak mentah ketika dia meninggalkan alam persekolahan untuk mengembangkan karier tenisnya, karier yang mampu bertahan sehingga 24 tahun sebelum dia mengambil keputusan bersara. Dilatih oleh Charlie Hollis di Queensland, sebelum mendapat sentuhan kapten Piala Davis Australia, Harry Hopman, yang memberi gelaran "Rocket' kepada Laver.
Pernah bergelar pemain No. 1 dunia pada zaman kegemilangannya, Laver memenangi kejuaraan utama pertamanya di Kejohanan Australia (kini Terbuka Australia) 1960, di mana dia mengalahkan rakan senegara, Neale Fraser dalam perlawanan sengit yang berlangsung hingga lima set.
Dia kemudian menjuarai gelaran Wimbledon pertama pada 1961. Pada 1962, dia muncul pemain lelaki pertama selepas Don Budge (1938) berjaya menjuarai kesemua empat kejuaraan Grand Slam pada tahun yang sama.
Pada masa itu, kejohanan Grand Slam hanya dibuka kepada pemain amatur sedangkan pemain profesional hebat seperti Pancho Gonzales, Pancho Segura, Frank Sedgman, Ken Rosewall dan Tony Trabert beraksi dalam Kejohanan Pro yang menawarkan hadiah kemenangan lebih besar.
"Apabila anda bermain tenis secara amatur, anda hanya mahu bertanding dan tidak memasang sasaran untuk menang. Tiada siapa meletakkan harapan tinggi kepada anda, tetapi saya pernah memenangi kejohanan ini (Terbuka Australia) ketika karier amatur.
"Sebagai amatur, anda bermain bukan kerana duit. Tenis bukan karier ketika itu, kami hanya mahu bermain,'' cerita Laver menyingkap zaman awalnya bergelar pemain tenis.
Selepas melihat potensi besar yang ada pada dirinya, Laver akhirnya bertukar kepada profesional sejurus berjaya melengkapkan kejuaraan Grand Slam pada 1962.
Dia berjaya menstabilkan diri di kalangan pemain profesional dengan pantas dan menggembirakan penonton kerana menjadi musuh baru kepada jagoan sedia ada, Gonzales dan Rosewall.
Dalam tempoh tujuh selepas bergelar profesional, dia berjaya menjulang gelaran perseorangan Kejohanan Profesional Amerika Syarikat (kini Terbuka Amerika Syarikat) sebanyak lima kali, termasuk empat kali berturut-turut dari 1966 hingga 1969.
Ketika era Terbuka diperkenalkan buat kali pertama pada 1968 dan kejohanan Grand Slam menjadi kalendar penting dalam tenis profesional, Laver berjaya muncul juara pertama era baru dengan merangkul gelaran Wimbledon, menumpaskan rakan senegara, Tony Roche pada final straight-set.
Pada 1969, dia melakar sejarah kedua menyapu bersih kejuaraan Grand Slam pada satu musim, kali ini sebagai profesional.
Kejayaan tersebut dilengkapkan dengan kemenangan ke atas Roche di final Terbuka Amerika Syarikat.
Malah, dia juga melakar rekod menakjubkan pada tahun tersebut apabila memenangi 17 daripada 32 kejohanan yang disertai dan mencatat 106 kemenangan, berbalas hanya 16 kekalahan. Ketika mengalahkan John Newcombe dalam pertarungan empat set pada final Wimbledon, dia menjulang kejuaraan di Kelab All England untuk tahun keempat berturut-turut dan memasuki final keenam berturut-turut.
Dia mencatat rekod memenangi 31 perlawanan berturut-turut di Wimbledon di antara 1961 hingga 1970, sebelum rekod itu dileburkan oleh Bjorn Borg pada 1980.
Pada 1971 pula, Laver mencipta rekod mengumpul hadiah kemenangan AS$292,717, sebelum menjadi pemain tenis pertama pada zamannya berjaya melepasi pendapatan AS$1 juta.
"Dapat melihat pemain sekarang pulang dengan AS$2 juta selepas merangkul satu kejuaraan, ia perkembangan menakjubkan buat sukan tenis.
"Saya tidak langsung terfikir ini akan berlaku ketika zaman saya beraksi.
"Jelas kita berada dalam dua dunia yang sangat.. sangat berbeza. Dulu kami hanya memikirkan tentang memenangi empat kejuaraan tetapi sekarang Grand Slam membuktikan ia juga menjadi lubuk wang buat pemain profesional,'' katanya lagi.
Selain mengecapi kejayaan individu, Laver turut memahat nama dalam kejohanan berpasukan prestij, Piala Davis apabila membantu Australia menjulang empat kejuaraan berturut-turut dari 1959 hingga 1962.
Pada 1973, apabila pemain profesional dibenarkan beraksi dalam Piala Davis buat kali pertama, dia menjulang gelaran kelima dengan meraih mata dalam dua acara perseorangan dan satu beregu ketika menewaskan Amerika Syarikat 5-0 di final.
Laver secara rasmi menghuni ranking No. 1 dunia pada 1961, 1962, 1968 dan 1969, sebelum mengumumkan persaraan daripada tenis profesional pada 1974 ketika masih menghuni kedudukan 10 terbaik dunia.
Keseluruhannya, Laver telah menggondol 11 kejuaraan Grand Slam sepanjang kariernya.
Dia mungkin mampu menang lebih banyak daripada itu jika tidak kerana diharamkan daripada memasuki kejohanan Grand Slam dari 1963 hingga 1967 kerana status sebagai profesional.
Pada 1981, nama Laver dimasukkan dalam Dewan Kemasyhuran Tenis Antarabangsa.
Laver juga tidak terlepas daripada berada diambang maut, apabila pada Julai 1998, dia diserang angin ahmar ketika sedang ditemubual rangkaian televisyen ESPN untuk program atlet terhebat pada kurun ke-20.
Malah, kehebatan luar biasa Laver membolehkan dia menerima penghormatan terbesar, di mana wajahnya terpampang di setem Australia.
Turut menerima penghormatan itu adalah seorang lagi bintang tenis Australia, Margaret Smith.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: