Saturday, January 21, 2012

Volt ditambah baik agar lebih selamat


SEHINGGA kini, pemilik Volt tidak pernah berdepan dengan masalah pek baterinya terbakar.


GENERAL Motors (GM) mengumumkan langkah penambahbaikan pada struktur badan dan sistem penyejukan bateri model Chevrolet Volt. Ia bertujuan mengelak kemungkinan bateri mencetuskan kebakaran secara elektrikal.

Tindakan itu dibuat sebagai maklum balas terhadap penilaian awal prestasi bateri selepas pelanggaran teruk oleh Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya Kebangsaan Amerika Syarikat (NHTSA).

November lalu, NHTSA menjalankan penilaian awal ekoran ujian makmal pelanggaran teruk pada pek bateri dan enam hari kemudiannya, pek bateri itu terbakar.

Chevrolet Volt dinobatkan sebagai Top Safety Pick oleh Insurance Institute for Highway Safety, selain meraih beberapa anugerah keselamatan daripada institusi-institusi lain.

Sepanjang 11 bulan pertama 2011, pemilik-pemilik Volt sudah bergerak sejauh lebih 32 juta kilometer tanpa sebarang kejadian seperti yang dinyatakan dalam ujian NHTSA.

"Volt tetap selamat dipandu. Kini kami mengambil langkah untuk menjadikan ia lebih selamat selepas kereta terlibat dalam kemalangan serius," kata Naib Presiden Kanan Pembangunan Produk Global GM, Mary Barra.

Modifikasi yang akan dilakukan pada Volt ialah mengukuhkan struktur bateri, menambah alat pengesan pada sistem sejukan bateri dan menambah penambahan pemegang pada bahagian atas takungan sistem penyejukan bateri.

Pemilik Volt akan dimaklumkan secara individu untuk melakukan modifikasi. Proses modifikasi dan penambahbaikan itu meliputi semua Volt yang dijual di Eropah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: