Saturday, January 21, 2012

Nissan Teana Pesaing Segmen D


TEANA tidak mengambil masa lama untuk menarik perhatian mereka yang mahukan sebuah sedan eksekutif.


SELEPAS model Cefiro, Nissan meninggalkan vakum yang agak lama dalam segmen D pasaran tempatan. Ketika model-model lain seperti Accord, Camry, Sonata dan Optima meneruskan pembaharuan pada model masing-masing, Nissan nampaknya terus mendiamkan diri.

Ramai juga yang tertanya-tanya kenapa Nissan mengambil pendekatan sebegitu. Sedangkan, sedia maklum bahawa sedan eksekutif boleh dianggap sebagai pasaran penting buat mana-mana pengeluar kenderaan.

Setelah puas menunggu, Nissan menerusi pengedarnya di Malaysia, Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) melancarkan model Teana pada November 2010. Memperkenalkan tiga varian, Teana dilihat menjadi pilihan terbaharu buat mereka yang inginkan sebuah sedan mewah pada ketika itu.

Model yang saya pandu uji kali ini ialah varian dengan unit enjin 2.0 liter dan dipasang tempatan (CKD) di kilang ETCM, di Serendah Selangor. Sebagai sebuah sedan mewah, Teana memang mempunyai kualiti yang harus ada dalam segmen tersebut.

Dilihat dari segi penampilannya, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Teana nampak paling muda berbanding para pesaingnya yang lain. Ini banyak dibantu oleh penggunaan lampu LED pada bahagian belakangnya. Silap-silap, ramai yang menganggapnya sebuah sedan mahal berjenama Eropah.

Bahagian hadapannya nampak kemas dengan adanya gril radiator berwarna krom yang lebar. Ia kemudian dipadankan dengan sepasang lampu utama yang besar, jauh lebih besar daripada lampu yang ada pada Accord dan Camry.

Warna sesuai

Jujurnya, saya bukan peminat ruang kabin yang menggunakan warna-warna cerah. Sebabnya, bagi saya warna sebegitu tidak praktikal. Mudah kotor dan nampak cantik pada awal hayatnya sahaja.

Cuba lihat selepas dua atau tiga tahun. Kesan kotor daripada makanan atau tapak kasut boleh dilihat dengan jelas.

Tetapi, peliknya saya rasa warna itu sesuai untuk Teana.


REKAAN ruang kabin Teana yang ringkas dan menenangkan.


Warna putih kuning pada tempat duduk, papan pemuka dan stereng berjaya menimbulkan rasa mewah. Bahkan menyebabkan ruang tersebut terasa lebih luas. Sedangkan kalau diukur, Teana sedikit sempit jika anda pernah duduk di dalam Accord atau Camry.

Sterengnya sedap dipegang, manakala tempat duduknya lembut dan selesa untuk perjalanan jauh. Tempat duduk belakangnya yang sedikit condong pasti membuatkan sesiapa sahaja tidak mengambil masa lama untuk tertidur.

Rasa panas juga mungkin tidak lama kerana terdapat dua corong pendingin hawa untuk digunakan sepenuhnya oleh para penumpang.

Mahu membuatkan semua orang tahu bahawa ia merupakan sebuah sedan eksekutif, sebahagian kecil papan pemuka dan konsol tengah dipasang dengan kemasan kayu berwarna gelap. Kontras yang cantik.

Teana hadir dengan sistem navigasi multimedia binaan dalam diberi nama TCAT (TC Auto Tooling Sdn Bhd). Sebenarnya, TCAT ialah anak syarikat milik penuh Tan Chong Motor Holding Bhd.

Sebelum ini, sistem sama mula dipasang untuk model sedan Sylphy. TCAT terdiri daripada skrin sentuh bersaiz tujuh inci yang diambil daripada Samsung. Unit multimedia navigasi tersebut menggabungkan sistem GPS, paparan kamera mengundur dan muzik atau video.

Ia boleh membaca fail daripada sumber-sumber seperti kad SD dan USB. Selain itu, TCAT juga mempunyai sambungan AUX-IN yang menyokong peranti-peranti misalnya pemain DVD, MP3, camcorder dan Playstation.

Namun, selepas mencubanya ketika berada di Pulau Pinang, saya kurang berkenan dengannya. Antara sebabnya ialah ia seakan-akan sudah preset. Maksudnya, jika anda menekan butang untuk menaip alamat yang ingin dituju, butang-butang huruf kemudiannya akan menjadi terhad kepada alamat yang sudah ada dalam sistemnya sahaja.

Kalau bernasib baik, anda boleh menaip alamat penuhnya. Kalau tidak, terpaksalah guna cara paling konvensional, bertanya dengan orang tempatan bagaimana hendak ke lokasi yang dituju.

Sebaik sahaja butang penghidup enjin ditekan, bunyi enjin yang lancar dan senyap itu sukar didengar dari dalam kabin. Enjin bersesaran 2.0 liter dengan kod MR20DE nyata memberi kuasa yang memuaskan. Dengan hamburan kuasa 136 PS @ 5,600rpm dan tork puncak 190Nm @ 4,400rpm meluncur di lebuh raya dan memulakan perjalanan di lampu isyarat sememangnya mudah.

Transmisi XTRONIC CVT


PERUMAH tuil gear yang disalut dengan kemasan kulit berwarna coklat gelap.


Jika pengeluar kereta Jepun yang lain tidak konsisten tentang aspek penggunaan kotak gear CVT, Nissan ialah pengguna CVT yang setia. Maka, tidak hairanlah jika ia mampu menghasilkan transmisi CVT yang cukup lancar dan tahan lasak. Dalam kes Teana, Nissan memasang kotak gear XTRONIC CVT baharu. Ia bukan sekadar lancar, malah berupaya memberikan penjimatan bahan api yang sewajarnya.

Bagi memastikan pemandu dapat mengoptimumkan penggunaan transmisi CVT tersebut, Nissan meletakkan saluran penyejuk minyak CVT pada sebelah kiri bahagian bawah bampar hadapan. Saluran itu berfungsi meningkatkan tahap penyejukan CVT dalam pelbagai gaya pemanduan. Ia bukan sahaja menjadikan kotak gear lebih tahan lasak, malah membolehkannya berfungsi walaupun dalam kondisi ekstrem.

Selepas memandu Teana selama beberapa hari dan menempuh perjalanan yang jauh, sedan eksekutif itu sememangnya menawarkan pemanduan yang memuaskan. Teana 2.0 ditawarkan pada harga RM145,015 (Luxury) seunit dan hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000 kilometer (mana-mana tiba dahulu).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: