|
TENGAH hari Sabtu itu, suasana di Jalan Hang Jebat atau nama popularnya, Jonker Walk tampak meriah. Kenderaan bertali arus melalui laluan sempit di antara deretan lebih 140 buah kedai lama yang dipercayai telah wujud sejak kurun ke-17 itu.
Kelibat pengunjung termasuk pelancong asing mula membanjiri laluan sepanjang kira-kira 500 meter itu. Ada yang dilihat membeli-belah, menjamu selera dan tidak kurang juga yang leka memetik lensa kamera mengabadikan memori indah di lokasi wajib kunjung di Melaka itu.
Bagaimanapun, populariti Jonker Walk tidak terhad kepada perniagaan kraftangan, makanan, pakaian semata-mata, sebaliknya turut menjadi syurga peminat-peminat barangan antik di Malaysia.
Salah satu premis barangan antik yang popular laluan itu ialah Abdul Antiques yang kini diusahakan oleh Moidu Abu Bakar yang juga dikenali sebagai Raja Barang Antik Malaysia.
Tatkala menjengah ke ruang dalamnya, mata pengunjung mudah tertumpu pada sebuah gramofon berwarna emas yang diletakkan di bahagian kaunter.
“Gromofon ini sudah berusia puluhan tahun tetapi keadaannya masih baik. Biar saya mainkan,” kata Mohd Suffian, anak ketiga Moidu yang membantu menguruskan perniagaan itu sejak tiga tahun lalu.
Biarpun mutu bunyiannya tidaklah sejelas atau secanggih cakera digital pada hari ini, bait-bait lagu berkumandang melalui piring hitam itu tetap lunak didengar.
Menurut pemuda berusia 28 tahun itu, premis Abdul Antiques menyimpan ribuan barangan antik yang terdiri daripada koleksi perabot, hiasan rumah, jam dinding, lampu, pasu, pakaian tradisional, senjata, meriam dan sebagainya.
Harganya pula bermula dari serendah puluhan ringgit sehingga mencecah ratusan ribu ringgit bergantung kepada nilai dan estetika barangan itu.
Jelasnya, sebahagian besar barangan antik di situ diperolehi dari dalam negara dan menggabungkan tiga identiti utama masyarakat di Melaka iaitu golongan Peranakan, Ceti dan Melayu.
Bercerita tentang legasi perniagaan keluarganya itu, pemilik sarjana dalam bidang kejuruteraan perisian komputer itu memberitahu ia dimulakan oleh datuk saudaranya, T.K. Kutty yang menjadi orang pertama membuka kedai barangan lama di situ sekitar tahun 1936.
Pada waktu yang sama, katanya, datuknya, T. Abu Bakar membuka Abdul Company tidak jauh dari kedai pertama itu dan sejak itu empayar barangan antik milik keluarga Moidu terus terpahat di laluan itu.
“Bangunan ini merupakan bangunan asal yang telah diusahakan sejak 76 tahun lalu. Kini kami mempunyai sebuah lagi cawangan iaitu di Jalan Tun Tan Cheng Lock (Heeren Street),” katanya.
Ujarnya, biarpun terpaksa bersaing dengan perniagaan-perniagaan lain di sepanjang laluan itu, namun dia berbangga kerana Jonker Walk tetap mengekalkan identiti asalnya sebagai ‘lubuk’ barangan antik di Melaka.
“Sehingga kini terdapat lebih 10 premis barangan antik yang masih beroperasi di sepanjang laluan ini, pastinya, masing-masing mempunyai keistimewaan dan tarikan yang tersendiri,” katanya yang memberitahu bahawa barangan antik diminati oleh pelbagai kaum.
Perabot jati
Sejarah barang antik bermula di Melaka pada penghujung kurun ke-19 apabila keluarga mewah Baba dan Nyonya membawa masuk tukang yang mahir menghasilkan kabinet dan pelbagai kelengkapan rumah.
Perabot-perabot yang dihasilkan daripada kayu jati, kayu nam dan kayu hitam (eboni) itu kemudiannya meraih populariti pada era 1960-an dan 1970-an apabila angkatan tentera British dan pegawai mereka dihantar pulang setelah Kem Terendak ditutup.
Ramai antara mereka yang mahu membawa pulang sebahagian daripada tinggalan sejarah itu. Susulan daripada itulah permintaan terhadap barangan antik terus meningkat.
Sementara itu, pemilik bisnes Oriental Collection, Daniel Chwee Pang Ming pula lebih selesa menjual pelbagai barangan antik yang berunsurkan tempatan dan oriental.
Memulakan perniagaan itu kira-kira 20 tahun lalu, Daniel berkata, selain memperoleh barangan antik daripada orang perseorangan, dia juga sering menjelajah ke luar negara seperti China yang terkenal dengan keagungan sejarah silamnya.
“Produk-produk dari China sememangnya tidak kurang hebatnya kerana tampak lebih artistik dan terkenal kehalusan ukirannya.
“Antara koleksi barangan antik yang sering menjadi permintaan peminat-peminat barangan antik di negara ini ialah tembikar, lukisan, pasu, perabot, penghadang dinding dan sebagainya,” ujarnya.
Jelas Daniel, kebanyakan pelanggan di premis dua tingkatnya itu datang dari seluruh negara termasuk dari Singapura.
Terangnya lagi, harga sesuatu barang antik itu akan ditentukan mengikut usia dan tarikh ia dihasilkan setelah disahkan tulen oleh pakar berkaitan.
“Dalam perniagaan barang antik, semakin lama usia sesuatu barang itu, maka semakin mahal harganya. Namun, jika dilihat dari aspek sejarah, kehalusan seni buatannya, keunikan, budaya dan warisan membuatkan ia tidak boleh dinilai dengan wang ringgit semata-mata.
Daniel memberitahu, antara koleksi berharga yang berada di dalam simpanannya ialah kostum bangsawan Nyonya yang harganya mencecah RM50,000 sepasang.
Sementara itu seorang pelancong dari Austria, Elke Weiss, 41, kagum dengan pelbagai koleksi barangan antik yang dilihat di sekitar Jonker Walk.
“Sebelum ini, saya hanya sempat melihatnya melalui risalah dan melayari internet. Kali ini saya puas kerana berpeluang menyaksikan di depan mata,” katanya yang berkunjung ke Melaka bersama suaminya, Martin Blqs, 44.
Sementara itu, seorang pelancong dari United Kingdom, Karina Prasad, 45, memberitahu, dia teruja melihat pelbagai koleksi barangan antik yang terdapat di situ.
“Apa yang saya perhatikan kebanyakan barangan itu berusia ratusan tahun dan sukar diperolehi ketika ini,” katanya.
Ujar kakitangan dari University Cambridge itu, dia sememangnya menggemari barangan antik kerana kecantikan barang-barang tersebut di samping meminati kerja lama yang halus dan penuh berseni.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: