Saturday, January 28, 2012

Uniknya Balung River Eco Resort


Pemandangan indah dari bahagian atas Balung River Eco Resort. Kelihatan sungai yang menjadi tempat beriadah pengunjung resort ini.


Percutian menyeronokkan bermaksud bukan hanya dapat menikmati keindahan panorama sesuatu tempat dilawati itu, tetapi juga jika kita berpeluang melakukan pelbagai aktiviti yang disediakan oleh pihak resort.

Bagi yang pernah ke Balung River Eco Resort, Tawau, Sabah, pusat percutian itu menawarkan pakej percutian unik berbanding dengan resort-resort lain di negara ini.

Selain menawarkan penginapan selesa kepada pengunjung, Balung River Eco Resort juga mengusahakan tanaman pertanian di resort berkenaan di kawasan seluas 1,295 hektar.

Antara tanaman yang diusahakan adalah kelapa sawit, koko, kopi, kayu jati, serai, pandan, gaharu dan pelbagai jenis ulam serta buah-buahan seperti buah naga, ciku, manggis, limau dan lada.

Lebih menarik, bagi kaki pancing mereka dibenarkan melayan joran di kolam buatan khas di situ.

Justeru, peluang mengunjungi Balung River Eco Resort dan mengikuti lawatan khas di kawasan ladang di situ memang menyeronokkan.

Terdapat dua cara untuk sampai ke Balung River Eco Resort iaitu pertama, menggunakan pengangkutan udara. Dari Lapangan Terbang Tawau, pelancong perlu menempuh perjalanan sejauh 28 kilometer selama setengah jam untuk sampai ke resort itu.

Pilihan kedua pula melalui pengangkutan darat yang kebanyakannya menjadi pilihan pengunjung tempatan.

Pengurus Pemasaran dan Jualan Balung River Eco Resort, Julita Reuben Osman berkata, pengunjung akan dibawa melawat kilang memproses hasil produk dari ladang seperti jus mengkudu, herba misai kucing dan gula kabong atau gula merah.

Menurutnya, sebahagian besar tanaman seperti kelapa sawit, jus mengkudu, herba misai kucing, gula kabung, buah naga dan salak dikomersialkan di pasaran tempatan dan luar negeri.

''Sambutan produk dari resort ini sangat menggalakkan dan kita telah dapat menembusi pasaran Jepun. Ia juga menjadi kegunaan pihak resort seperti kopi dan minuman herba lain.

''Selain itu, pengunjung boleh membeli produk-produk keluaran kami. Ia istimewa kerana sebahagian daripadanya tidak dijual di pasaran seperti misai kucing," katanya kepada S2 baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, idea mewujudkan resort berkonsepkan ladang itu diilhamkan oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Mohd. Salleh.

Keistimewaan lain yang terdapat di resort itu adalah kemudahan bilik penginapan yang selesa untuk percutian individu atau bersama keluarga .

Turut disediakan gelanggang badminton, bola sepak, tapak perkhemahan, kolam renang, restoran, karaoke dan surau.

Inisiatif pengurusan resort berkenaan patut dipuji kerana menyediakan perkhidmatan dua dalam satu iaitu sebuah pusat percutian indah dan menarik serta mampu pula mengusahakan tanaman pertanian di dalamnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: