PANORAMA indah pemandangan sekitar bandar raya Alor Setar, Kedah dan biru awan gemawan yang menguasai langit boleh dinikmati dari restoran ini.
Lebih menarik Restoran Berputar di Menara Alor Setar yang berketinggian 94 meter ini menjadi lokasi makan terbaru di bandar raya Alor Setar dengan kehadiran D'Saji yang cukup terkenal dalam industri katering.
Beroperasi sebagai D'Saji Skyview di restoran tersebut sejak 12 Disember tahun lalu, restoran ini menjadi tempat yang sesuai bagi anda yang ingin mengadakan pelbagai majlis daripada resepsi perkahwinan, akad nikah, parti hari jadi sehinggalah pertemuan semula mahupun sekadar bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan.
Selain menawarkan suasana indah, restoran ini juga menyajikan aneka makanan dengan cita rasa D'Saji.
Malah dengan hiasan dalaman yang sangat minimum, ia sudah memadai bagi pengunjung menikmati suasana dan makanan dengan cukup selesa.
Berlatarkan biru awan di langit, pengunjung berpeluang menjamu selera daripada menu masakan tradisional Melayu, Cina, Thailand dan barat sambil mata meliar melihat persekitaran mengagumkan dari 'atas' awan.
Menurut Pengurus Unit D'Saji, Fairuz Arshad Mustaffa, sajian disediakan dalam bentuk set makan tengah hari, makan petang dan makan malam.
Dengan kepakaran Ketua Chef, Mohd. Zaid Mohd. Noor bersama tujuh anak buahnya, kata Fairuz, antara masakan menyelerakan dalam sajian tersebut adalah rendang tok, gulai daging, masak lemak cili padi dan asam pedas.
"Masakan ini menjadi pilihan kerana ia adalah kepakaran chef D'Saji. Set makan tengah hari dan makan malam ini cuma bernilai RM25 bersih, yang mana pengunjung boleh membuat tempahan masakan mengikut pilihan mereka," katanya.
Mampu memuatkan lebih 250 pengunjung, restoran tersebut juga menyediakan bufet stim bot bernilai RM29 bersih.
Menurut Fairuz, bufet stim bot kini menjadi pilihan ramai setiap malam bagi mereka yang menginginkan kelainan ketika makan malam.
"Sebanyak 30 jenis makanan laut, sayur-sayuran dan bebola ikan disediakan untuk bufet ini yang disajikan pada pukul 7 malam hingga 10.30 malam," katanya.
Bukan itu sahaja, tempahan khas turut disediakan bagi mereka yang ingin mengadakan makan malam yang romantis secara candle-lite.
"Pakej ini menjadi pilihan bagi pasangan yang ingin meraikan sesuatu hari istimewa seperti ulang tahun perkahwinan atau sebagainya.
"Selain pilihan masakan yang pelbagai, kami turut menyediakan khidmat butler demi memastikan suasana makan malam ini lebih istimewa," katanya.
Sebarang pertanyaan bolehlah menelefon ke talian 04-7301122.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: