Friday, January 6, 2012

Travellers kumpul duit rakam album


TRAVELLERS (dari kiri) Muhammad Nur Hakim, Muhammad Nur Afandi, Nur Farhana dan Muhammad Noor Haziq.


TRAVELLERS antara puluhan kumpulan pemuzik dan penyanyi jalanan di sekitar Kuala Lumpur yang menyanyi bagi mencari rezeki yang halal.

Kumpulan empat anggota itu menggunakan bakat serta minat yang mendalam dalam bidang muzik bagi memenuhi impian mereka untuk merakamkan album single sendiri pada masa depan.

Menurut salah seorang anggota Travellers, Muhammad Nur Afandi Mohammad Fauzi, 17, atau Fendy, dia dan kumpulannya kini sedang mengumpulkan duit sendiri hasil daripada persembahan mereka di jalanan bagi memenuhi impian tersebut.

"Kami mempunyai impian untuk merakamkan album atau single sendiri pada masa akan datang. Sebab itu, antara yang kami perlu lakukan adalah menyanyi dan bermain muzik di merata-rata tempat di sekitar Kuala Lumpur.

"Duit hasil sumbangan orang ramai itu akan kami gunakan sebagai kos rakaman album pertama kami itu nanti.

"Apatah lagi, buat masa ini kami baru tiga bulan menyanyi di jalanan biarpun Travellers sudah dua tahun ditubuhkan. Kami akan mencari sebanyak mungkin duit bagi mencapai impian kami itu," katanya kepada Hits sewaktu ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Fendy, Travellers yang turut dianggotai oleh Muhammad Noor Haziq Zainuri, 16, (bass), Nur Farhana Mohammad Fauzi, 20, (penyanyi), Nur Syuhaidah Mohammad Fauzi, 19, (keyboards) serta Muhammad Nur Hakim Mohammad Fauzi, 16, (dram) kini mempunyai dua lagu serta lirik ciptaan mereka sendiri yang berjudul Anganan dan Kasih Bintang Hati.

Menariknya, kesemua anggota kumpulan itu adalah adik-beradik kecuali Muhammad Noor Haziq yang merupakan sepupu kepada empat beradik terbabit.

Jelas Fendy yang juga selaku pemain gitar utama kumpulan itu, mereka akan menyimpan dan menggunakan duit hasil sumbangan orang ramai sewaktu mengadakan persembahan-persembahan di tempat-tempat awam hampir pada setiap malam bagi tujuan merealisasikan impian itu.

"Biasanya, dalam satu-satu persembahan kami boleh mengutip sumbangan sekitar RM50 hingga RM100 dalam setiap persembahan yang kami adakan di mana paling banyak ia boleh mencecah sehingga RM300 untuk satu malam.

"Kami mengadakan persembahan tetap pada setiap malam dari pukul 9.30 malam dan ke atas di Restoran Hokkaido berhampir Hotel Vistana, Kuala Lumpur kecuali hari Ahad. Sementara dari pukul 12 malam ke atas pula kami mengadakan persembahan di tempat-tempat lain.

"Antaranya di sekitar Bangsar, Ampang atau Setapak. Kami akan membahagi-bahagikan hasil kutipan pada setiap malam dan pada masa sama akan menyimpannya bagi tujuan kos rakaman album single kami itu nanti," ujarnya.

Biarpun kebanyakan anggota Travellers masih berada di bangku sekolah tetapi kerana minat yang mendalam dalam bidang muzik menyebabkan mereka begitu bersemangat bermain muzik di jalanan terutamanya sewaktu musim cuti panjang persekolahan Disember lalu.

Jelas Nur Farhana atau Fana yang merupakan pelajar muzik peringkat diploma di Segi Kolej ini, biarpun baru tiga bulan menyanyi di jalanan tetapi Travellers sering berlatih di rumah lagu-lagu yang akan dipersembahkan kepada para audiens mereka.

"Biasanya kami akan mengadakan persembahan pada musim cuti sekolah. Tetapi kalau sewaktu musim persekolahan kami akan mengadakan persembahan pada hujung minggu. Setakat ini, kami mempunyai hampir 100 buah lagu-lagu terutamanya malar segar yang sedia untuk dipersembahkan.

"Antara lagu-lagu yang kami biasa persembahkan ialah lagu Hotel California nyanyian kumpulan Eagles, Oh! Fatimah (A. Ramlie), Winds of Change (Scorpions) dan Kenanganku (Datuk Jeffrydin). Dalam setiap persembahan kami akan menyanyikan sehingga enam buah lagu dalam persembahan hampir 30 minit.

"Selain lagu Melayu dan Inggeris, kami ada juga menyanyikan lagu-lagu Arab, Jepun dan Hindi. Bagaimanapun, kalau ada permintaan kami akan menyanyikan empat lagi lagu tambahan sebelum berhenti mengadakan persembahan sambil memungut sumbangan ikhlas yang diberikan oleh para penonton," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: