|
|
NAMANYA pernah meniti di bibir para peminat muzik tanah air. Namun sejak dua tahun lepas kelibatnya hampir hilang daripada terus diperkatakan dalam bidang tersebut.
Rentetan sejarah penyanyi berketurunan Cina dalam dunia hiburan ini bermula apabila dia menjuarai rancangan realiti Malaysian Idol musim yang kedua pada 2005,
Selain mampu menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu dengan baik, penyanyi ini juga berbakat besar mencipta lagu.
Namun benarlah bagai di kata, dunia hiburan negara bukanlah medan yang mampu disinggahi sesiapa sahaja kerana tanpa kekuatan mental dan fizikal tidak mungkin seseorang penyanyi itu mampu bertahan dalam dunia yang penuh dengan cabaran ini.
Menurut Daniel, dia pernah merasai tekanan yang amat sangat sehingga memaksanya membuat keputusan untuk meninggalkan terus bidang nyanyian yang cukup diminatinya itu.
"Saya pernah berputus asa untuk terus berada di dalam bidang nyanyian. Saya pasti ini berkait rapat dengan kegagalan saya untuk mengembangkan karier nyanyian saya dari tahun 2005 sehingga tahun lepas," katanya ketika di temui pada pelancaran album barunya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bagaimanapun jelas Daniel, semangatnya untuk terus berada di dalam bidang nyanyian hadir semula apabila dia menerima nasihat daripada rakan baiknya.
"Semangat saya mula tercetus semula apabila diberitahu rakan saya tentang tujuan sebenar saya mahu bergelar penyanyi. Saya akui diawal kemunculan saya di dalam dunia hiburan, saya terlalu taksub untuk mengejar populariti.
"Bagaimanapun saya tahu kini apa yang penting adalah mengenai rasa cinta saya yang sebenar terhadap bidang muzik ini," katanya yang pernah mahu meneruskan perniagaan bapanya dalam bidang perikanan sebelum ini.
Kehadiran album ketiganya yang bertajuk Sincerely Yours, Daniel bakal membuka lembaran baru dalam kariernya sebagai seorang penyanyi. Dia kini lebih jujur dengan muzik yang dibawakannya.
"Mungkin di awal kemunculan saya, saya lebih banyak bereksperimen dan nyata terdapat kesilapan dalam pemilihan genre yang sesuai untuk saya.
"Bagaimanapun kini saya lebih yakin dengan album baru saya yang dilihat lebih memperlihatkan sisi sebenar saya sebagai penyanyi yang semakin matang," kata penyanyi berumur 29 tahun ini.
Pernah popular dengan lagu seperti berjudul Mimpi, Pasti dan Tiada Maaf Bagimu, tambah Daniel dia tidak pernah melupakan para peminatnya yang terdiri daripada bangsa Melayu.
Justeru, Daniel kini sedang dalam perancangan untuk menghasilkan album dalam bahasa Melayu pula selewat-lewatnya sebelum hujung tahun ini.
"Saya sangat bersyukur kerana masih ramai peminat dari keturunan Melayu yang mengenali saya. Melalui sokongan ini saya pasti akan memberikan sesuatu buat mereka iaitu sebuah album penuh di dalam bahasa Malaysia pada tahun ini," ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: