SELAMA ini, para peminat pasukan sukan bola sepak tempatan ataupun liga luar negara hanya mengikuti perkembangan pemain pujaan mereka menerusi ulasan-ulasan perlawanan di kaca televisyen mahupun majalah-majalah sukan.
Bagaimanapun, stesen TV9 cuba meluaskan lagi skop itu dengan memperkenalkan rancangan baru yang dikenali Kaki Bola bagi mempopularkan lagi para pemain bola sepak tempatan dan juga sukan itu di kalangan penontonnya mulai 9 Januari ini.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Seelan Paul, Kaki Bola bukan sahaja akan disiarkan di TV9 setiap Isnin pukul 9.30 malam tetapi ia juga akan disiarkan melalui radio Hot FM setiap Isnin pukul 6 petang hingga 7 malam.
Seelan yang juga Penerbit Eksekutif Kaki Bola berkata, rancangan dengan 31 episod itu akan lebih mengutamakan pasukan bola sepak negara seperti Harimau Muda selain menampilkan berita tentang pasukan-pasukan bola sepak luar negara.
"Kami mahu menjadikan Kaki Bola sebuah rancangan interaktif yang dapat dijadikan medium oleh para peminat bola sepak tempatan bercakap tentang apa sahaja dalam sukan ini termasuklah isu-isu semasa yang berlaku di dalamnya.
"Pada masa sama, kami juga mahu memperkenalkan para pemain bola sepak kita supaya mereka lebih dikenali dan diminati oleh para peminat. Contohnya, kami ada segmen Kenali Pemain Kita dalam rancangan ini.
"Kami akan menampilkan pemain seperti Azmi Muslim yang sebelum menjadi pemain pasukan kebangsaan pernah bekerja sebagai pemandu jentera folklift di sebuah kilang. Ramai penonton yang ingin tahu cerita-cerita di sebalik tabir seperti itu," ujarnya.
Seelan yang ditemui selepas pelancaran Kaki Bola di Sports Planet, Kota Damansara, Selangor baru-baru ini menambah, selain menjemput para pemain bola sepak, rancangan itu juga akan menampilkan kalangan kaki bola.
Antaranya kata Seelan pihaknya akan menjemput tokoh korporat seperti Datuk Seri Tony Fernandez dari AirAsia bagi mendapatkan perspektifnya tentang bola sepak negara ini dan juga di peringkat antarabangsa bagi dikongsi bersama para penonton rancangan ini nanti.
"Saya sendiri kaki bola dan merupakan bekas pemain bola sepak sewaktu menuntut di Universiti Putra Malaysia sekitar tahun 1990-an dulu. Malah, saya juga graduan jurusan Pendidikan Jasmani di mana saya juga akan berkongsi pengalaman itu.
"Mungkin atas pengalaman dan minat saya dalam sukan bola sepak itu menyebabkan pihak TV9 memberi kepercayaan kepada saya mengacarakan rancangan itu bersama penyampai Hot FM, Kieran dan EOne," ujarnya.
Sementara itu, Kieran atau Maskiran Jakiran berkata, Kaki Bola yang ditaja oleh penaja utamanya, syarikat telekomunikasi TM itu juga akan memaparkan segala berita tentang perkembangan sukan bola sepak negara.
Ia termasuklah katanya soal remeh-temeh seperti gosip panas atau berita di sebalik tabir yang membabitkan para pemain bola sepak negara yang tentunya amat dinanti-nantikan oleh para peminat mereka selama ini.
"Pemain bola sepak juga merupakan golongan selebriti yang mempunyai ramai peminat. Kalau boleh Kaki Bola mahu mempopularkan semua pemain bola sepak di negara ini dan bukan hanya seseorang pemain sahaja.
"Kalau selama ini orang lebih mengenali penjaga gol pasukan kebangsaan iaitu Apex (Khairul Fahmi Che Mat), maka pada masa sama kita juga ada pemain lain seperti Asrar dan Nazmi Faiz juga dikenali ramai kerana mereka juga ada peminat yang tersendiri.
"Jadi, melalui rancangan ini para peminat boleh saling berinteraksi dengan kami dan selebriti melalui Facebook, Twitter atau talian telefon bagi membincangkan isu-isu semasa demi mempopularkan lagi sukan ini," jelasnya.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, Pengurus Besar TV9, Sherina Nordin, Ketua Pegawai Pemasaran TM, Datuk Rozalila Abdul Rahman dan Pengurus Penjenamaan Kumpulan TV9, Feisal Abd. Malik serta jurulatih Harimau Muda Ong Kim Swee.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: