KUALA LUMPUR 3 Jan. - Kehadiran kembar tiga lelaki seiras di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Muda, di sini bagi memulakan alam persekolahan berjaya mencuri tumpuan orang ramai yang berada di sekolah tersebut.
Muhammad Danial, Muhammad Danish dan Muhammad Danny yang ditemani ibu bapa mereka hadir untuk menyertai 170 murid lain sempena sesi orientasi dan suai kenal murid tahun satu hari ini.
Pasangan kembar tersebut merupakan anak sulung kepada pasangan Noor Azizah Abd. Hamid dan Mohd. Hussin Johor.
Noor Azizah memberitahu, dia mendaftarkan anak kembarnya itu di sekolah yang sama kerana ketiga-tiga mereka tidak dapat berpisah sejak kecil.
“Kalau boleh mereka mahukan semua sama malah setiap barang keperluan sekolah tidak kira warna mahupun jumlah seperti beg sekolah, baju, seluar dan kasut mesti sama.
“Selain itu, menempatkan mereka di sekolah yang sama memudahkan kerja saya dan suami untuk memantau mereka dari semasa ke semasa. Lagi pun, saya cukup berpuas hati dengan perancangan pihak sekolah untuk murid-murid di sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Beliau berharap ketiga-tiga anaknya itu dapat menyesuaikan diri dengan suasana baru di sekolah, lebih-lebih lagi apabila diletakkan dalam kelas yang sama iaitu 1 Dedikasi.
“Seawal pukul 6 pagi mereka sudah bangun dan sememangnya teruja hendak memulakan persekolahan hari ini.
“Namun, apabila masuk ke kelas tadi, Danish menangis sebentar kerana meja telah disusun dua-dua maka salah seorang daripada mereka terpaksa duduk di meja yang lain,” katanya lagi.
Bagaimanapun, ketiga-tiga kembar seiras yang ditemui di dalam kelas kelihatan lebih bersemangat untuk meneruskan sesi orientasi apabila pelbagai aktiviti mula dijalankan guru.
Danny yang bercita-cita mahu menjadi doktor berkata, dia tidak sabar ke sekolah sebab mahu menemui kawan-kawan baru dan belajar perkara baru.
“Dekat sekolah boleh belajar menulis dan mewarna seperti di prasekolah. Paling suka sebab boleh ke sekolah belajar sama-sama dengan abang-abang,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: