Thursday, January 5, 2012

tiga pasangan kembar


Nurul Aira Farhana (kiri), Nurul Aina Farhana dan Nurul Aida Farhana dipimpin oleh ayah mereka, Shahrul Aswan Shamsuddin dan ibu Norazizah Che Yaakob ke Sekolah Kebangsaan Ismail Petra 1, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 3 Jan. - Kehadiran pasangan kembar tiga Nurul Aiza Farhana Shahrul Aswan, 7, dan dua lagi adiknya, Nurul Aina Farhana dan Nurul Aida Farhana di Sekolah Kebangsaan Ismail Petra (1) di sini, ternyata menarik perhatian ramai.

Ini kerana, ketiga-tiga pasangan kembar seiras itu bukan sahaja mudah menyesuaikan diri dengan suasana baharu di sekolah, tetapi juga gelagat mereka yang tampak ceria dengan set persekolahan sedondon.

Mereka melaporkan diri di sekolah berkenaan dengan ditemani bapa, Shahrul Aswan Shamsuddin, 41, kakitangan Petronas Carigali di Kertih, Terengganu dan ibu, Norazizah Che Yaacob, 39, seorang suri rumah.

Kehadiran pasangan kembar tiga itu yang dilahirkan pada 29 Mac 2005 di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) di sini, menambah lagi anggota keluarga Shahrul Aswan di sekolah berkenaan di mana kakak pasangan kembar itu, Nurul Anis Farhana, 10, turut belajar di tahun empat.

Menurut Shahrul Aswan, ketiga-tiga anak kembarnya itu yang dilahirkan secara pembedahan, teruja hendak memulakan alam persekolahan apabila bangun seawal pukul 6 pagi tanpa sebarang rungutan.

“Malah, mereka bertiga sangat berdikari, bersiap sendiri tanpa menunggu dipakaikan baju dan kelengkapan lain oleh ibu mereka,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Shahrul Aswan memberitahu, kehadiran ketiga-tiga puteri kembarnya itu yang merupakan anugerah tidak ternilai daripada Yang Maha Esa, menambahkan lagi keceriaan kepada keluarganya yang menetap di Taman Tanjung Chat dekat sini.

Selain kembar tiga itu dan Nurul Anis Farhana, pasangan terbabit mempunyai empat lagi anak iaitu Muhammad Alif Farhan, 16; Muhammad Amir Firdaun, 13, Nurul Afza Farhana, 5, dan Nurul Amni Farhana, 2.

“Saya dan isteri memang mempunyai sejarah keluarga kembar dan tidak menjangka kami mewarisinya,” katanya yang tidak mempunyai pembantu rumah bagi menguruskan anak-anak mereka.

Menceritakan persiapan persekolahan tiga puteri kembarnya itu, bapa berkenaan memberitahu, dia membelanjakan kira-kira RM1,000 untuk membeli baju, beg sekolah, kasut dan keperluan lain yang semuanya mesti sama.

“Mereka bertiga memang sangat akrab, tak boleh berpisah dan kalau beli barangan mesti sama. Untuk itu, saya membuat persediaan sekolah sejak awal-awal lagi bagi memastikan dapat membeli semua kelengkapan sama untuk mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: