JOHOR BAHRU 4 Jan. - Kehadiran kembar lelaki seiras di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Uda 2 (SKBBU 2) di sini hari ini bagi memulakan sesi persekolahan mencuri tumpuan orang ramai.
Muhammad Asyraf dan Muhammad Azizan yang ditemani ibu bapa mereka hadir ke sekolah untuk menyertai 210 murid lain.
Pasangan kembar yang merupakan anak bongsu pasangan Abdullah Sehab, 52, dan Mariam Ahmad, 40, teruja memulakan sesi persekolahan mereka.
Abdullah berkata, kedua-dua anaknya itu sebelum ini pernah mendapat pendidikan pra-sekolah dan ia secara tidak langsung membantu mereka untuk menyesuaikan diri dengan pantas.
"Mereka memang rapat sejak kecil dan tidak boleh berenggang. Waktu mula mendaftarkan diri di sekolah ini mereka ditempatkan di kelas yang berbeza tetapi selepas mengemukakan rayuan mereka dapat belajar di dalam kelas yang sama," katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth, Mohd. Zameer Mustapha turut gembira apabila dapat memulakan sesi persekolahan hari ini.
Pelajar yang mengalami masalah rabun serius itu riang dan bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan.
"Hari ini saya belajar Iqra' dan banyak lagi yang saya akan pelajari selepas ini," kata murid yang berasal dari Seri Alam, di sini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: