KUALA LUMPUR - Projek Lebuhraya Usahasama Bhd. (PLUS Bhd.) akan menerbitkan sukuk bernilai RM30.6 bilion yang akan menjadi sukuk global terbesar dan terbitan tunggal bon terbesar di Malaysia setakat ini.
Terbitan sukuk yang dijadualkan pada 12 Januari ini merupakan susulan penswastaan PLUS Expressways Bhd. (PEB) yang merupakan salah satu program penswastaan terbesar di Malaysia dan penyusunan semula konsesi tol di bawah PEB dan Penang Bridge Sdn. Bhd. (PBSB).
Perjanjian konsesi lebuh raya ini juga akan diletakkan di bawah PLUS Bhd. anak syarikat milik penuh PLUS Malaysia Sdn. Bhd., iaitu jentera pelaburan UEM Group Bhd. yang memegang 51 peratus kepentingan manakala bakinya oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UEM, Datuk Izzaddin Idris berkata, hasil daripada terbitan sukuk ini akan digunakan untuk membiayai sebahagian pembelian aset, liabiliti, perniagaan, akujanji dan hak-hak lima konsesi tol.
Tol terbabit ialah Projek Lebuh Raya Utara-Selatan Bhd., Expressway Lingkaran Tengah Sdn. Bhd., Konsortium Lebuh Raya Butterworth-Kulim Sdn. Bhd., Linkedua (Malaysia) Bhd., dan PBSB.
Menurut Izzaddin, hasil ini juga akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan modal, modal kerja dan keperluan pembiayaan am yang lain.
"Kejayaan dan permintaan yang kukuh terhadap terbitan sukuk ini jelas menunjukkan keteguhan dan kecairan pasaran tempatan. Ia juga merupakan petunjuk keyakinan pelabur terhadap operasi dan aset PLUS.
"Bukan sahaja kita berjaya mengeluarkan salah satu sukuk terbesar di dunia tetapi kita juga dapat memainkan peranan meningkatkan lagi kedudukan Malaysia dalam pasaran modal Islam antarabangsa selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia hab kewangan Islam," katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena majlis menandatangani perjanjian bagi penubuhan dan terbitan sukuk berkenaan di sini baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak; Ketua Pegawai Eksekutif AmInvestment Bank Bhd., Kok Tuck Cheong serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
CIMB Investment Bank Berhad telah dilantik sebagai Penasihat Kewangan, Penasihat Utama Tunggal, Pengatur Utama Tunggal dan Pengurus Utama Bersama untuk urus niaga berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: