KUALA TERENGGANU - Seramai 137 penduduk di empat buat kampung dekat sini menerima durian runtuh apabila kerajaan negeri membayar wang pampasan sebanyak RM18.11 juta ekoran pengambilan balik tanah milik mereka bagi tujuan projek pembinaan jambatan dan jalan.
Projek pembinaan itu melibatkan jalan sejauh sembilan kilometer menghubungkan Kampung Bukit Guntong, Tepu ke Kampung Teluk Pasu.
Antara kampung yang terlibat daripada projek yang dimulakan sejak tahun 2010 itu ialah Kampung Jeram, Kampung Banggol Donas, Kampung Kubang Jela dan Kampung Teluk Pasu.
Ketua Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kuala Terengganu, Omar Mat berkata, daripada 137 cek yang dikeluarkan, tiga belas daripadanya melibatkan pampasan kediaman dan selebihnya lot tanah yang diambil.
"Bagaimanapun, bayaran pampasan untuk projek fasa dua yang masih berbaki 65 lot itu masih belum diselesaikan.
"Kelewatan itu berpunca daripada kes-kes seperti siasatan semula status tanah, pampasan rumah, struktur binaan serta proses mengenal pasti waris," katanya pada majlis pembayaran pampasan di sini semalam.
Omar berkata, projek bernilai RM229 juta itu memberi manfaat kepada penduduk kerana ia menghubungkan kawasan berkenaan dengan bandar Kuala Terengganu menerusi projek Jambatan Sakti berdekatan Muzium Negeri tidak lama lagi.
Katanya, kerajaan negeri sebelum ini telah menyelesaikan pembayaran sebanyak RM14 juta kepada 76 pemilik lot tanah untuk projek sama fasa satu antara Kampung Jeram Tok Kong ke Bukit Guntong.
"Pemilik 13 buah rumah yang dirobohkan turut diberi keistimewaan memilih tapak baharu bernilai RM70,000 satu lot di kampung asal mereka," ujarnya.
Sementara itu, seorang penduduk, Abd. Halim Mat Hussin, 43, yang menerima pampasan sebanyak RM532,700 bersyukur atas keprihatinan kerajaan negeri.
"Rasa sedih bila tanah didiami sejak kecil diambil, namun kami terima pampasan yang setimpal bagi tujuan itu," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: