Monday, January 9, 2012

Graduan MSU tampung kekurangan doktor


TUJUH pasangan suami isteri merupakan antara 60 graduan sulung MBBS MSU di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Graduan sulung program perubatan dan pembedahan Universiti Sains Pengurusan (MSU) diharap dapat menampung masalah kekurangan doktor dan pakar perubatan negara, titah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun.

Baginda yang juga Canselor MSU turut bertitah agar semua 60 graduan sulung Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri (MBBS) itu dapat mencurahkan khidmat dengan profesional, memelihara etika dan bersifat ikhlas dalam membantu menjaga kesejahteraan kesihatan setiap lapisan masyarakat di negara ini.

"Sesungguhnya beta berasa amat bangga kerana pada hari ini (semalam), MSU telah berjaya melahirkan graduan sulung program perubatan dengan International Medical School (IMS) MSU di kampus Bangalore India.

"Beta percaya, ini merupakan pencapaian yang sangat cemerlang buat MSU kerana kelahiran doktor-doktor perubatan ini," titah baginda sempena Majlis Konvokesyen ke-10 MSU di sini semalam.

Tuanku Haminah turut melahirkan rasa puas hati dengan kecemerlangan MSU sejak 30 tahun lalu apabila bermula daripada sebuah kolej sehingga menjadi sebuah universiti yang membangun.

Sementara itu, tujuh pasangan suami isteri adalah antara 60 graduan sulung kursus perubatan yang menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen semalam.

Mereka menamatkan pengajian lima tahun dalam bidang (MBBS) di International Medical School di Bangalore, India.

Seorang daripada mereka, Muhammad Fairuz Shah Abd. Karim, turut mencipta kejayaan berganda apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Canselor.

Muhammad Fairuz, 25, yang juga pemimpin pelajar ketika menuntut di Bangalore, berkata, kejayaan itu lebih manis apabila turut dikongsi dengan isterinya, Syazwana Mohd. Zaki.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: