Optimis jadi peneraju bateri caj semula

Panasonic Malaysia Sdn Bhd (Panasonic) optimis menguasai 15 peratus daripada jumlah keseluruhan pasaran bateri caj semula berbanding lima peratus tahun lalu.

Pengarah Urusannya, Jeff Lee berkata, pasaran bateri cas semula mempunyai potensi yang baik dan Panasonic yakin ia terus meningkat dengan baik tahun depan.

Menurutnya,penguasaan 15 peratus itu adalah melibatkan pengeluaran 500,000 bateri yang bernilai RM3 juta.

“Pasaran bateri Panasonic secara keseluruhan semakin mendapat sambutan dan menguasai 30 peratus untuk pelbagai jenis segmen bersamaan nilai jualan yang mencecah RM39 juta pada tahun lalu.

“Kami menyasarkan peningkatan penguasaan pasaran bagi semua jenis bateri kepada 40 peratus atau bersamaan RM48 juta sepanjang 2012,”katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran bateri cas Evolta di Kuala Lumpur semalam.

Menurutnya, bateri cas semula Evolta boleh didapati dalam saiz berbeza iaitu AA dan AAA yang boleh digunakan serta merta juga dicas semula sehingga 1600 kali.

“Bateri itu dilengkapi dengan Kit Pengecas bagi kedua-dua saiz dengan menawarkan masa pengecasan dari 2, 8 hingga 10 jam.

“Produk baru ini mampu menjadi peneraju dalam bateri cas semula yang tahan lama dan sesuai digunakan untuk pelbagai peralatan termasuk gadjet berteknologi terkini,” katanya.

Lee berkata, ia menjadi salah satu produk yang ideal dan mesra alam dalam menjaga persekitaran sekali gus bertetapan dengan falsafah Idea Eco Panasonic.