Volkswagen catat peningkatan

Buat pertama kalinya, Kumpulan Volkswagen me­ngeluarkan lebih 8 juta kenderaan sepanjang tahun lalu sekali gus mencatatkan peningkatan 14.3 peratus bagi pasaran global.

Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Jualan, Christian Klingler berkata, kenaikan 19.1 peratus membuktikan kekuatan prestasi bulan Disember dengan pengeluaran 650,000 unit kenderaan.

Menurutnya, keuntungan selebihnya bagi 2011 berada di tahap sukar dan risiko bagi pasaran Eropah dilihat semakin berkembang tahun ini.

“Secara keseluruhan, 8.16 peratus kenderaan diserahkan kepada pelanggan. Perkembangan bagi pasaran kereta global katogeri penumpang dalam tempoh sama juga positif.

“Bagaimanapun, peningkatannya hanya 5.1 peratus dan pembuat kenderaan terbesar Eropah dapat mengembangkan penguasaan pasaran,” katanya.

Christian berkata, Kumpulan Volkswagen mempunyai kedudukan yang baik dan bersedia menghadapi cabaran mendatang serta memainkan peranan penting dalam pasaran dunia.
Katanya, perkembangan positif di kawasan pertumbuhan dan pasaran mampu mengukuhkan pasaran.

“Ia jelas terbukti apabila kumpulan Volkswagen mencatatkan situasi penjualan menggalakkan bagi pasaran Asia tahun lalu. Penghantaran di seluruh rantau Asia Pasifik meningkat 19.8 peratus.

“Bagi pasaran besar seperti China, syarikat telah mengeluarkan 2.25 juta kenderaan,” katanya.

Menurutnya, India me­nunjukkan pengeluaran dua kali ganda dengan penyerahan 111,600 kenderaan kepada pelanggan. Peng­hantaran dan penyerahan kereta di negara lain juga menunjukkan peningkatan.

Sebanyak 933,400 kenderaan diserahkan kepada pelanggan di Amerika Selatan manakala 666,800 penyerahan dilaksanakan di Amerika Utara.

“Volkswagen juga me­nunjukkan pertumbuhan peningkatan dalam penghantaran ke Eropah Barat yang melibatkan 1.98 juta kereta baru.

“Penghantaran 548,000 unit kenderaan telah dilakukan di Eropah Tengah dan Timur sekali gus menunjuk­kan peningkatan 29.4 peratus,” katanya.

Bagi pasaran Jerman pula, perningkatan penghantaran 2011 meningkat sehingga 11.4 peratus dengan penyerahan lebih 1.03 juta kenderaan.