Jana pembangunan modal insan berjaya

Maybank menawarkan moratorium selama enam bulan kepada mangsa-mangsa banjir bagi bayaran ansuran bulanan dan pengecualian caj tertentu mengikut kes sehingga 30 Jun, 2012.

Dalam satu kenyataan semalam, Maybank berkata program bantuan malapetaka akan turut diberikan kepada perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengguna yang menerima kesan banjir di Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.

“Ini adalah moratorium kelima ditawarkan Maybank kepada pelanggan sejak 2007 sejajar misi kemanusian,” kata Timbalan Presiden/Ketua Perkhidmatan Kewangan Komunitinya, Lim Hong Tat dalam kenyataan medianya.

Maybank akan memproses permintaan mendapatkan bantuan bagi meringankan beban mengikut kes dan kesukaran pelanggan.

“Sesetengah pelanggan yang menerima kesan buruk banjir itu memerlukan pembelaan daripada segi tanggung jawab kewangan justeru, kami menawarkan bantuan kemanusiaan untuk membantu mereka fokus pada komitmen masing-masing selepas ini”,katanya.

Selain itu, kumpulan insurans dan takaful bank itu, Etiqa, juga menyediakan nombor hotline tuntutan banjir 24 jam sebagai tambahan kepada langkah menggembleng unit untuk membantu pelanggan membuat tuntutan.

“Sehingga ini, mereka telah memproses tuntutan bernilai lebih RM80,000 daripada pemegang polisi yang menerima kesannya,” katanya.

Tawaran bantuan itu disediakan bagi kemudahan urusan konvensional dan Islam.

Pelanggan boleh menghubungi talian hotline Maybank 1 300 88 6688 atau berkunjung ke cawangan berdekatan bagi mendapatkan maklumat lanjut.