INDIVIDU dewasa yang memiliki kandungan asid lemak omega 3 serta vitamin B, C, D dan E yang tinggi dalam darah didapati boleh berfikir dengan lebih baik. Saiz otak mereka juga lebih besar.
Sebaliknya, orang dewasa dengan lemak trans yang tinggi mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan dalam ujian berfikir berbanding kumpulan yang kandungan lemak tidak sihat mereka rendah.
Kajian terbaharu itu turut merumuskan bahawa golongan terbabit mengalami masalah pengecutan saiz otak.
Pengkaji berkata, vitamin dan omega 3 sentiasa bekerjasama dalam memberi kesihatan kepada otak.
"Pemilik kandungan vitamin yang banyak itu memperlihatkan fungsi kognitif yang lebih baik dan mempunyai otak yang lebih besar," kata pengkaji dari Jabatan Neurologi, Universiti Kesihatan dan Sains Oregon di Portland, Amerika Syarikat, Gene Bowman.
Penemuan yang disiarkan dalam jurnal Neurology itu mendapati mereka yang memiliki kandungan tersebut dalam kuantiti yang lebih menunjukkan keupayaan menyelesaikan masalah yang lebih baik.
Selain otak yang lebih besar, mereka juga ada kebolehan visuospatial dan kognitif global.
Sebahagian pengecutan dan pengecilan otak adalah disebabkan oleh faktor penuaan.
Namun, banyak kes pengecilan otak berkait rapat dengan masalah mental dan penyakit Alzheimer.
Penyelidik menemui bahawa vitamin tersebut memberi kesan yang besar dalam aspek berfikir dan ia bekerja dengan cara yang berbeza di dalam otak.
Asid lemak omega 3 yang bersumberkan makanan seperti ikan salmon pula menunjukkan hubung kait dengan fungsi eksekutif otak yang lebih baik.
Bagaimanapun, kajian itu mendapati tiada hubung kait antara omega 3 dan ukuran lain keupayaan mental.
"Individu dengan kandungan lemak trans yang tinggi menunjukkan tahap pemikiran yang lebih buruk dan otak yang lebih kecil," kata Bowman.
Fungsi eksekutif merupakan satu terma yang digunakan untuk tahap pemikiran yang melibatkan perancangan, perhatian dan penyelesaian masalah.
Dalam kes ini, mereka yang lebih dewasa akan diberikan ujian berkaitan menyusun huruf dan nombor seperti nombor 1 dan huruf A, 2 dan B dan seterusnya yang boleh mengukur keupayaan mereka berfikir.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: