Sunday, January 1, 2012

Pelancong asing ngeri makan landak


DAGING rusa akan direbus terlebih dahulu supaya lembut dan mudah dimasak.


SUASANA Restoran Lembah Bernam di pekan Sekinchan, Selangor tidak banyak berbeza berbanding gerai makanan lain yang terletak berhampiran.

Majoriti pelanggan masih rancak berbual mengenai hasil padi yang menjadi sepanjang tahun 2011. Rata-rata pesawah dan pengusaha padi meraih pendapatan yang memberangsangkan.

Sememangnya Sekinchan terkenal sebagai salah satu pengeluar padi utama negara.

Bagi pengurus restoran itu, Karim Jaafar, 28, situasi sedemikian merupakan satu perkara biasa.

"Saya ialah anak jati Sekinchan. Namun, keluarga saya tidak mengusahakan sawah padi sebaliknya sekadar berkebun dan membuka restoran," katanya.

Restoran itu merupakan cawangan kedua perniagaan makanan yang diasaskan arwah bapanya, Jaafar Abdullah selepas Restoran Selera Rimba dibuka di Sungai Besar pada lima tahun lalu.

Bapa Karim yang merupakan seorang pemburu tegar begitu meminati makanan eksotik.

"Dia gemar berburu landak, rusa dan pelanduk di sekitar hutan di negeri Selangor.

"Mungkin daripada situ dia mendapat idea untuk membuka restoran yang menjual makanan yang jarang ditemui seperti daging landak dan pelanduk," cerita Karim mengenai bapanya.

Semua adik-beradik Karim yang seramai 13 orang terlibat dalam menguruskan kedua-dua restoran berkenaan.

Lesen

"Ada juga yang membuat kerja sampingan seperti menjaga ladang dan kebun buah-buahan," katanya.

Beliau menganggap kerja menguruskan restoran memerlukan kesabaran. Malah, modal permulaan untuk membuka dua buah restoran yang ringkas sahaja rekaannya itu mencecah RM100,000.

Selain itu, bekalan haiwan eksotik yang menjadi ikon restoran itu agak terhad.

"Haiwan eksotik memerlukan lesen khas sebelum boleh menjualnya.

"Ia cuma boleh dijual dalam kuantiti tertentu. Sebagai contoh, lima ekor landak yang telah dibuang isi perut dan kepalanya cuma seberat 50 kilogram. Jadi sebanyak itu sahaja daging landak yang boleh dijual pada satu-satu masa," terang Karim.


DAGING landak dikatakan mampu melancarkan pengaliran darah.


Beliau menambah, jika dijual melebihi kuota ditetapkan, lesen menjual haiwan eksotik itu boleh ditarik balik oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Karim juga memberitahu, masakan daging landak akan direkodkan di dalam sebuah buku khas setiap hari untuk semakan Jabatan Perhilitan.

Malah beliau berkata, untuk mendapatkan lesen itu pun bukan senang.

"Saya memohon lesen itu selama tiga tahun sebelum diluluskan," beritahu Karim.

Kebanyakan bekalan haiwan eksotik itu dibeli Karim daripada pemburu haiwan di sekitar Selangor. Oleh kerana itulah ada masanya Karim terputus bekalan.

"Memang ada pelanggan yang kecewa kerana tiada masakan daging landak pada hari berkenaan sedangkan dia sanggup datang dari jauh.

"Biasanya kami menasihatkan mereka supaya menelefon terlebih dahulu supaya tidak kecewa apabila datang sekali lagi," jelasnya.

Kebanyakan pengunjung restoran itu merupakan pelanggan tetap. Mereka terdiri daripada pekerja sektor kerajaan mahupun swasta di sekitar Selangor. Sesetengah pelanggan datang dari Perak dan Kedah.

Tidak cukup sekadar bercerita jika tidak merasai sendiri kelazatan makanan tersebut.

Dimakan bersama ulam-ulaman seperti daun pudina, pucuk ubi, ulam raja, pegaga serta dipadankan dengan sambal tempoyak, hidangan daging landak Restoran Lembah Bernam dirasakan sungguh menyelerakan.

Berbeza dengan ayam atau lembu, tekstur daging landak lebih lembut dan manis.

Ia dimasak mengikut cita rasa pelanggan seperti rendang, masak pedas, masak kicap dan goreng berlada.

Namun, rendang landak mungkin masakan yang paling sedap dan mengecurkan air liur sesiapa sahaja.

"Daging landak seberat 300 gram yang siap dimasak berharga RM30," terang Karim.

Tidak lama selepas makan daging landak, badan menjadi agak panas. Ini kerana daging haiwan itu dikatakan akan melancarkan pengaliran darah.

Seorang pengunjung, Kamarulizam Mat Desa, 37, mengakui beliau seorang penggemar landak.

"Pada mulanya saya agak ragu-ragu memakannya kerana badan tiba-tiba menjadi panas pada waktu malam.

"Tetapi apabila bangun pagi keesokannya saya rasa bertenaga macam baru lepas minum air Tongkat Ali," katanya ketawa.


IKAN sepat goreng sedap dinikmati dengan sambal tempoyak.


Pelancong

Azman Ikhwan, 46, pula menggemari udang galah.

"Saya tidak boleh makan udang laut kerana seluruh badan akan menjadi gatal. Tetapi udang galah di restoran ini tidak memberikan kesan sebegitu," katanya.

Lain pula pendapat Mustafa Kanon, 42, yang sukakan ikan puyu dan baung.

"Sukar untuk mendapatkan kedua-dua ikan itu yang hidup liar di sawah dan sungai. Memasaknya juga perlu pandai," terang beliau.

Bagi Karim, pungutan harian restoran itu boleh mencecah sehingga RM2,000. Pada hujung minggu dan cuti umum pula kadangkala melebihi RM4,000.

"Kebiasaannya pada bulan September hingga Februari ada bekalan daging landak dan rusa manakala pada bulan Mac dan Ogos bekalan daging kijang, pelanduk dan napoh," ceritanya.

Menurut Karim, ada pelancong asing yang menikmati makanan di restoran tersebut terutamanya dari Jepun, Jerman, Filipina dan Indonesia.

Ujarnya, pada mulanya pelancong itu takut-takut untuk makan daging landak kerana menyangka ia akan dihidangkan bersama duri serta kukunya yang tajam.

"Bagaimanapun, selepas menjamahnya mereka mengatakan sedap pula sehingga menambah nasi beberapa kali.

"Pelancong Jepun pula gemar makan udang galah masak pedas," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: