|
|
HANYA mereka yang pernah terkena serangan norovirus dan rotavirus yang mengetahui betapa seksanya berhadapan dengan keadaan loya dan muntah yang berlarutan.
Namun, situasi seperti itu sudah menjadi perkara biasa buat seorang budak perempuan di Pontefract, Yorkshire, England, apabila dia mengalami masalah tersebut sejak enam tahun lalu.
Alisha Atkinson, 12, menderita sindrom muntah berterusan. Sindrom itu menyebabkan pesakit muntah berkali-kali dalam sehari tanpa diketahui puncanya.
Biarpun sedar kepayahan yang terpaksa ditanggung, ibu Alisha, Maggie Atkinson berasa kagum dengan ketabahan anaknya itu.
Menurut Maggie, Alisha telah melakukan yang terbaik untuk menjalani kehidupan normal walaupun diserang ketidakselesaan itu sehingga 40 kali sehari.
Tetapi akibat terlalu letih dan tertekan, kadangkala Alisha menjadi murung. Maggie berkata, tiada data yang menunjukkan bilangan pesakit muntah berterusan itu. Doktor juga tidak dapat mendiagnosis masalah Alisha sejak awal lagi.
Ujian darah
"Alisha diserang simptom ini sejak dia berusia enam tahun dan sering tidak sihat. Namun, tiada pakar perubatan yang mampu menjelaskan situasi itu.
"Doktor tidak tahu apa yang tidak kena dengan anak saya. Kata mereka, Alisha mengalami apendiks peringkat pertama kerana ciri-ciri kesakitan pada perut dan sindrom usus meragam yang dihidapnya.
"Setakat ini sudah banyak ujian darah dilakukan tetapi doktor tetap merumuskan perkara yang sama," kata Maggie.
Menurut wanita itu lagi, anak perempuannya itu tidak boleh makan ketika sakit tetapi masih mampu untuk minum.
Alisha perlu minum kerana banyak bendalir badannya keluar melalui muntah. Lebih buruk lagi dia mengalami dehidrasi teruk sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital.
"Kejadian paling teruk yang pernah dialaminya adalah ketika dia muntah sehingga 100 kali dalam masa sehari.
"Bagaimanapun, pada waktu bilakah dia akan mengalami masalah itu tidak dapat dijangka. Kadangkala semasa di sekolah pun gurunya akan menghubungi saya kerana Alisha tiba-tiba muntah.
"Kami tidak dapat merancang apa-apa. Kami tidak boleh pergi membeli-belah ataupun bercuti kerana Alisha mungkin sakit pada bila-bila masa," katanya lagi.
Sejak enam tahun lalu, Alisha telah menghabiskan sebanyak 140 hari di Hospital Pontefract dan menerima berbotol-botol air.
Selepas Alisha sihat daripada setiap episod sakit tersebut, dia akan cergas seketika sehingga tiga atau empat hari tetapi perlu bersedia pada hari berikutnya.
"Beberapa hari kemudian kejadian itu akan berulang lagi. Alisha memberitahu bahawa ia adalah permulaan laluan berbatu buatnya," kata Maggie.
Pengarah Program Pediatrik, Klinik Cleveland di Ohio, Amerika Syarikat, Dr. A. David Rothner berpendapat sindrom itu mungkin disebabkan ketidaknormalan fungsi metabolik.
Rotavirus
Rothner yang melakukan kajian mengenai sindrom itu mendapati bahawa satu pertiga daripada kanak-kanak yang mengalami sindrom muntah berterusan disebabkan oleh sakit kepala dan berasa loya akibat metabolik yang tidak normal.
"Keadaan ini adalah satu gangguan kronik terhadap etiologi yang tidak diketahui. Masalah ini dikenal pasti menerusi keadaan muntah yang berlarutan kerana sakit kepala dan loya teruk yang biasa berlaku pada awal pagi.
"Sehingga kini tiada penawar untuk mengatasi masalah ini tetapi sebahagian ubatan boleh mengurangkan simptom tersebut," kata Rothner.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Klinikal dan Hal Ehwal Perubatan GlaxosmithKline Singapura dan Malaysia, Dr. Teoh Yee Leong berkata, muntah yang berlarutan dalam kalangan kanak-kanak disebabkan oleh rotavirus.
Pada setiap tahun dianggarkan kira-kira 23,000 pesakit mendapat rawatan akibat jangkitan rotavirus dan satu pertiga daripada mereka perlu dimasukkan ke hospital.
"Bayi adalah golongan berisiko tertinggi. Apabila dijangkiti ia akan menunjukkan tanda-tanda seperti demam, cirit-birit dan muntah-muntah sehingga 10 dan 20 kali sehari.
"Gastroenteritis rotavirus boleh menjadi serius secara tiba-tiba dan menyebabkan pendehidratan," kata Yee Leong.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: