Saturday, January 28, 2012

Monumen cinta agung


INILAH monumen yang menjadi lambang cinta Shah Jahan kepada isterinya, Mumtaz.


AGRA, pernah satu ketika menjadi ibu negara pemerintahan empayar Moghul di India pada abad ke-16 hingga ke-18. Bandar yang terletak berhampiran Sungai Yamuna di sebelah utara negara bahagian Uttar Pradesh itu menyimpan satu seni bina agung yang terus menjadi sebutan sehingga kini.

Pembinaan Taj Mahal menjadi saksi kisah cinta agung, Raja Shah Jahan terhadap isteri kesayangannya, Mumtaz Mahal yang meninggal dunia semasa melahirkan anak mereka yang ke-14.

Dikatakan, ketika akhir hayatnya, Mumtaz telah menyuarakan beberapa permintaan antaranya ialah sebuah tempat persemadian umpama mahligai di dunia, sama seperti apa yang pernah hadir dalam mimpinya sebelum itu.

Pembinaannya bermula pada 1931 dan siap 22 tahun kemudian dengan 20,000 pekerja mahir. Bahan binaan dibawa dari seluruh Asia dengan menggunakan 1,000 ekor gajah. Marmar putih didatangkan dari Rajasthan, permata (Punjab), jed dan hablur (China), firus (Tibet), lazuardi (Afghanistan), nilam (Sri Langka dan kamelian (Arab). Lantainya pula dibuat daripada pualam bercahaya dari Makrana, Rajasthan.

Ia direka oleh beberapa arkitek terkemuka ketika itu antaranya, Abdul-Karim Ma'mur Khan, Makramat Khan dengan diketuai oleh Ahmad Lahauri.

Taj Mahal atau jika diterjemahkan bermaksud 'Istana Mahkota' merupakan sebuah kompleks bersepadu iaitu mempunyai bahagian makam, dewan, taman rekreasi, masjid, menara tinjau dan sebagainya.


TAJ MAHAL lengkap dengan menara yang berketinggian 60 meter.


Kompleks setinggi hampir 60 meter itu diperbuat daripada marmar putih yang merupakan contoh terbaik seni bina Moghul yang menggabungkan sentuhan rekaan India, Parsi dan Islam.

Bahagian bumbung, kubah dan menara diperbuat daripada marmar putih serta seni mozek. Bagi melengkapkan kompleks itu, ia turut dihiasi dengan kaligrafi khat thuluth dipetik daripada beberapa surah dalam kitab al-Quran di tembok dan dindingnya. Ia dihasilkan oleh Amanat Khan dari Parsi.

Di bahagian luarnya terdapat kawasan taman rekreasi seluas 300 meter persegi dengan lorong-lorong yang dihiasi dengan bunga. Terdapat empat taman yang melambangkan empat sungai utama di India yang didakwa mengalir dari syurga.

1 comment:

  1. teringin nak sampai ke sini dengan suami terchenta;)...

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: