Saturday, January 28, 2012

Rai Chap Goh Meh cara moden

SAMBUTAN Tahun Baru Cina mengambil masa selama 15 hari mengikut bulan pertama kalendar kaum Cina.


SAMBUTAN Tahun Baru Cina berlangsung selama 15 hari pada bulan pertama kalendar masyarakat Cina. Dalam tempoh tersebut, setiap hari ia membawa makna berbeza dan disambut dengan cara tertentu.

Sebagai tanda berakhirnya perayaan 15 hari itu, ahli keluarga akan berkumpul bersama untuk makan malam, membakar mercun dan bermain mahjong selain upacara sembahan dilakukan pada kadar yang lebih besar.

Hari yang meriah itu dikenali sebagai festival tanglung atau dalam dialek Hokkien, Capgome, jika diterjemah bermakna malam ke-15 Tahun Baru Cina.

Pada zaman keemasan Baba dan Nyonya di Malaysia tidak lama dulu, hari itu lazimnya disambut secara besar-besaran dengan cara istimewa khususnya di Pulau Pinang dan Melaka.

Masyarakat Pulau Pinang yang lebih berusia mungkin masih ingat kemeriahan sambutan Capgome dengan perarakan Cingge merentasi jalan-jalan di Georgetown.

Di Melaka pula, antara acara menarik tetapi telahpun pupus ditelan zaman ialah kumpulan-kumpulan Dondang Sayang yang berdendang dan berpantun mengelilingi bandar dari atas kenderaan berhias.

Pada zaman itu, Capgome adalah satu-satunya hari anak gadis yang mencapai usia perkahwinan dibenarkan berdandan dan keluar dengan pakaian paling cantik.

Pada hari yang sama, lelaki bujang yang mahu mencari pasangan hidup juga akan keluar untuk mengerling gadis-gadis berkenaan dengan harapan dapat memilih dan meminang gadis yang diminati.

Menurut legenda, dewa dari langit akan turun pada hari berkenaan untuk mengikat kaki pasangan lelaki dan gadis yang berjodoh dengan benang merah di kaki agar mereka akan sentiasa bersama hingga akhir hayat.

Hajat makbul

Memandangkan hajat pada malam Capgome dianggap lebih makbul, para gadis yang telah berdandan akan menuju ke tokong-tokong pinggir laut bagi melontarkan limau mandarin dan membuat hajat bagi mendapatkan suami yang baik.

Pada waktu itu, gadis-gadis itu juga akan ditemukan dengan telangkai (orang tengah), yang kemudian membantu mencari dan mengaturkan perkahwinan dengan lelaki yang sesuai.

Penganjur Festival Kasih Sayang Capgome Kuala Lumpur 2012, Dennis Loh berkata, kini tiada lagi adat resam perkahwinan yang diatur oleh telangkai, sebaliknya anak gadis boleh dilihat di merata-rata tempat.

Namun, tradisi melontar limau itu memberi beliau idea untuk mengembalikan semula semangat kasih sayang dan perkahwinan Capgome dalam bentuk acara tahunan yang menyeronokkan bagi golongan bujang lelaki dan perempuan, serta mampu menarik pelancong asing.

Pada acara utama festival itu, ribuan wanita akan menulis nama dan nombor telefon masing-masing untuk dilontarkan ke dalam tasik yang kemudian akan dikutip secara rawak oleh pengunjung lelaki.

"Beberapa tahun kebelakangan ini, acara itu menjadi lebih meriah apabila mereka memulakan tradisi pengunjung lelaki pula menulis dan melontar pisang untuk dikutip oleh golongan perempuan," kata pemilik Cheng Pai Events & Solutions itu lagi. Festival itu pertama kali dianjurkan pada tahun 2000 dengan jumlah pengunjung hanya 350 orang dan terus meningkat beberapa kali ganda pada tahun berikutnya.

"Pada masa itu, acara sebegini masih tiada di Kuala Lumpur, tetapi ia telah menjadi acara yang dinanti-nantikan setiap tahun, malah kami mencipta sejarah apabila berjaya menarik 20,000 pengunjung tahun lepas," kata Loh.

Festival itu akan berlangsung pada 6 Februari ini bermula dari pukul 6 petang di Taman Tasik Permaisuri di Bandar Tun Razak, Cheras.

Bagi Dennis, acara itu dianggap sebagai simbolik harapan baharu kepada mereka yang masih bujang, apatah lagi hari yang turut dikenali sebagai Festival Tanglung adalah malam bulan penuh yang pertama pada tahun baru.

Pada zaman dahulu, anak gadis akan menunggu dengan sabar dan penuh harapan agar limau yang hanyut selepas dilontar ke sungai atau laut akan dikutip orang supaya hajatnya termakbul.

Kini, di Tasik Permaisuri, peserta yang mengutip limau atau pisang, boleh terus menghubungi dan bertemu individu bujang yang bernasib baik serta menghayati bulan penuh pertama tahun baharu bersama.

Jemput penaja

"Tahun ini kami memberi ruang kepada penajaan utama sebanyak tiga khemah selain menawarkan ruang bazar kepada 20 penjual dan 10 ruang jualan untuk badan kebajikan yang berminat.

"Kami ingin menjemput lebih ramai penaja bersama untuk membantu menjalankan aktiviti berlandaskan hajat dan kasih sayang seperti bot tanglung hajat untuk dihanyutkan ke dalam tasik," jelas beliau.

Aktiviti lain yang memerlukan penaja termasuk laluan temu janji dan pokok hajat yang membolehkan peserta mengantung kad hajat untuk cinta, kekayaan dan kesihatan, dewa kekayaan dan dewa nasib serta cabutan bertuah berjumlah RM2 juta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: