Saturday, January 28, 2012

TLG destinasi golf waktu dinihari


Permainan golf secara simulasi menarik minat warga bandar raya yang lebih gemar bermain pada waktu malam di Tropica Leisure Golf, Johor Bahru.


DARI luar premis Tropica Leisure Golf (TLG), mungkin ramai menyangka kemudahan golf simulasi ini sudah ditutup tetapi suara keriuhan pengunjungnya boleh didengari sesiapa sahaja yang berada berdekatan premis itu.

Bunyi gelak tawa dan 'dentuman' bola golf mengenai skrin kanvas semakin jelas saat menaiki anak tangga menghampiri pintu masuk pusat golf simulasi yang terletak di Taman Setia Tropika, Johor Bahru ini.

Memang janggal bermain 'golf skrin' bagi mereka yang pertama kali datang ke sini, namun inilah satu-satunya pilihan yang ada bagi peminat sukan golf di ibu negeri Johor ini ketika lapang sasar lain sudah ditutup. Mungkin juga ada yang datang sekadar mahu melepaskan gian tidak dapat turun ke padang kerana tuntutan tugas seharian.

Ketua Pegawai Operasi TLG, Mohamed Khairul Mohamed Napi berkata, kemudahan ini adalah yang pertama seumpamanya di Johor Bahru dan sejak memulakan operasi awal tahun ini, semakin ramai yang ingin mencuba permainan simulasi ini dan tidak kurang juga yang kini menjadi 'pelanggan tegar'.

"Operasi bermula dari pukul 11 pagi hingga 11 malam, namun TLG sedia melanjutkan operasi bagi pelanggan kami jika mereka mahu bermain sehingga subuh sekalipun.

"Kami faham sebahagian pemain golf amatur tidak mempunyai masa lapang pada hujung minggu atau sentiasa sibuk pada hari biasa untuk tee-off bersama rakan-rakan," katanya ketika ditemui S2, baru-baru ini.

Tambah Mohamed Khairul, banyak ciri-ciri khas yang membantu pemain golf memperbaiki mutu permainan di padang dalam pelbagai segi yang mana pengesan berupaya mengukur cara pukulan pemain dan analisis video yang membolehkan seseorang membetulkan pukulan.

Jelasnya, jika bola pemain jatuh di dalam 'rough' dan 'bunker', komputer juga akan mengira jarak sebenar yang perlu dipukul dari sasaran sekali gus membolehkan pemain membuat anggaran lebih tepat apabila bermain di padang nanti.

Secara keseluruhan, TLG mewujudkan suasana eksklusif sebuah rumah kelab golf dengan kelengkapan lain sebagai nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada seperti bar, ruang legar dengan televisyen besar, perkhidmatan Internet dan ruang khas merokok.

Saat jurugambar S2, Raja Jaafar Ali merakamkan pengunjung yang bermain, terdapat sekumpulan pelanggan lain menunggu di ruang legar sambil sabar menunggu giliran dengan bersantai dan bersembang membicarakan bermacam hal.

Tidak kurang juga yang menunggu di restoran di sebelah bawah dan akan meluru naik ke TLG sebaik sahaja melihat kumpulan sebelum mereka keluar kerana telah habis bermain.

Menurut Mohamed Khairul, populariti TLG di kalangan pemain golf di Johor Bahru semakin berkembang, malah ada segelintir pelanggan sanggup datang dari daerah lain dan Singapura untuk mencuba sendiri kemudahan di pusat golf simulasi ini.

"Jika juruterbang berlatih memandu pesawat dengan menggunakan simulasi, kenapa tidak untuk pemain golf? Jika cuaca tidak mengizinkan anda bermain di padang, anda boleh berbuat demikian di sini dalam keadaan lebih selesa berhawa dingin," katanya lagi.

Ujarnya, ramai pelanggan yang memulakan 'karier' golf mereka di sini menyaksikan peningkatan dalam permainan di padang, malah dua hadiah televisyen plasma berukuran 43 inci sudah dibawa pulang oleh dua pelanggan yang berjaya mencatat pukulan selubang.

Tambahnya, kejohanan golf simulasi yang dianjurkan pada bulan lalu turut menyumbang kepada pertambahan jumlah pelanggan menyebabkan operasi TLG dilanjutkan sehingga dinihari hampir setiap hari.

"Kini, TLG semakin menjadi tumpuan kaki golf di sekitar Johor Bahru dan kami juga sedang dalam rancangan menambah unit golf simulasi dalam masa terdekat dan kelengkapan golf tiga dimensi pada masa depan," kata Mohamed Khairul lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: