EKSKLUSIF...Volkswagen Scirocco antara yang menjadi tumpuan pengunjung, semalam.
OKUAN Otomobil Sdn Bhd (Okuan Otomobil), pengedar tunggal sah Volkswagen Group Malaysia (VGM) di pantai timur menyasar jualan kira-kira 75 unit kenderaan jenama Volkswagen sebulan menerusi pembukaan bilik pameran terbarunya di Jalan Beserah, Kuantan, Pahang.
Pengarah Eksekutifnya, Peter Yap berkata, syarikat sudah menjual lebih 160 unit kenderaan berkenaan sejak bilik pameran 3S (jualan, servis dan alat ganti) mula beroperasi pada Julai tahun lalu dan pembukaan bilik pameran dua tingkat berkeluasan 1,672 meter persegi akan memperkukuhkan lagi kehadiran jenama Volkswagen di Pantai Timur.
“Ketika ini ada lebih 300 pemilik kenderaan Volkswagen di Pantai Timur termasuk dari Terengganu serta Kelantan dan kami percaya Volkswagen bukan saja menawarkan jenama berkualiti tetapi juga menyediakan perkhidmatan selepas jualan terbaik menerusi bilik pameran 3S,” katanya selepas majlis perasmian bilik pameran 3S yang disempurnakan Pengarah Urusan VGM, Ricky Tay di Kuantan, Pahang.
Sementara itu, Tay berkata, pembukaan bilik pameran pertama di Pantai Timur adalah sebahagian rancangan pengembangan pesat jenama Volkswagen di Malaysia kerana negeri itu mempunyai potensi pasaran besar selain mahu membawa jenama dan perkhidmatan Volkswagen lebih dekat kepada pelanggan.
“Ia juga selaras dengan prinsip utama Volkswagen dalam pembangunan rangkaiannya untuk mengoptimumkan liputan, berorientasikan pelanggan, keuntungan pengedar dan keramahan pelabur.
“Kami mahu menjadi kereta bukan nasional pilihan nombor satu rakyat Malaysia dan lebih banyak rangkaian pengedar akan membantu kami untuk mencapai kejayaan ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: