SELONGKAR...mangsa menunjukkan bilik yang diselongkar penyamun.
SHAH ALAM: Gara-gara percaya individu yang datang ke rumahnya adalah kontraktor pendawaian yang diupah neneknya, seorang remaja lelaki kerugian kira-kira RM35,000 selepas barang kemas milik ibunya dan barangan elektronik miliknya dilarikan tiga lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian samun di Seksyen 19, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, anak mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Ashvindren, 18, sedang menonton televisyen seorang diri di rumah sebelum mendengar bunyi bising di tingkat bawah rumahnya.
Pelik dengan bunyi itu, mangsa turun ke tingkat bawah sebelum mendapati tiga lelaki berpakaian seperti kontraktor pendawaian di hadapan pintu rumahnya.
Katanya, dia bertanyakan tujuan mereka dan meminta mereka beredar.
“Seorang daripada suspek menunjukkan surat kononnya mereka diarahkan nenek membuat pemeriksaan pendawaian elektrik.
“Sebaik masuk, seorang daripada suspek memegang kolar baju dan meminta menunjukkan tempat simpanan barangan kemas. Dalam masa sama dua lagi suspek mengambil parang yang diletakkan dalam van di depan rumah,” katanya.
Beliau berkata, suspek meletakkan parang dilehernya dan mengugut dicederakan jika enggan menunjukkan barangan kemas. Disebabkan bimbang dicederakan, dia membawa suspek ke biliknya di tingkat atas dan suspek merampas komputer riba dan telefon bimbitnya.
Katanya, ketika suspek memunggah biliknya, ibunya Kalavathi, 42, pulang ke rumah selepas menghantar adik ke sekolah dan terkejut melihat suspek turun dari tingkat atas sebelum mengacukan parang dan meminta ibu menyerahkan barang kemas seperti gelang, rantai dan cincin jika tidak mahu dicederakan,” katanya yang mengakui masih lagi trauma.
Ashvindren berkata, ibunya yang ketakutan dan bimbang dicederakan kemudian menyerahkan semua barang kemas yang disimpan di dalam bilik dan barang kemas berkenaan dianggarkan bernilai kira-kira RM30,000.
Suspek melarikan diri bersama barangan milik mangsa.
Mangsa kemudian menghubungi pihak berkuasa sebelum sepasukan polis tiba di rumahnya bagi menjalankan siasatan dan mengesan cap jari suspek di sekitar kawasan rumah.
Bimbang kejadian sama berulang mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9, di sini, untuk tindakan selanjutnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: