Thursday, January 5, 2012

Suami tidak boleh temankan isteri

KERJASAMA...Hasrina (kiri) dan Hawa ingin memberikan kelainan kepada wanita Islam untuk rawatan di spa dan salun.
KERJASAMA...Hasrina (kiri) dan Hawa ingin memberikan kelainan kepada wanita Islam untuk rawatan di spa dan salun.

PERTAMA kali menjejakkan kaki ke Spa & Salun Kecantikan Muslimah Hurun Ain Oasis di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, penulis dihidangkan dengan alunan muzik lembut dan persekitaran bersih yang mendamaikan.

Biarpun sebelum ini jarang sekali mempunyai masa terluang untuk memanjakan diri akibat kesibukan kerja dan aktiviti keluarga, sesekali berada di spa seolah-olah membuatkan keletihan hilang begitu saja.

  • Foto

    SELESA...pelbagai rawatan disediakan.

  • Foto

    MESRA...segala maklumat mengenai pakej yang disediakan diberi penerangan khusus kepada pelanggan.

  • Foto

    LAMAN KANAK-KANAK...ruangan tersedia bagi kanak-kanak bermain ketika menunggu ibu mereka mendapatkan rawatan.

  • Foto

    BERSIH...faktor kebersihan amat dititikberatkan.

  • Foto

    TERSUSUN...kemudahan disediakan tersusun rapi.

  • Foto

    RINGKAS...kemudahan beri keselesaan kepada pelanggan seolah-olah berada di rumah sendiri.

Konsep yang diketengahkan spa dan salun ini adalah moden kontemporari dan memberikan banyak kelebihan kepada wanita Muslimah yang ingin mendapatkan rawatan bagi merehatkan minda dalam suasana tenang.

Spa serta salun kecantikan eksklusif untuk Muslimah ini dikendalikan dua rakan karib, Hawa Ya’akub dan Hasrina Ismail yang ingin memberikan kelainan kepada wanita ketika mengikuti proses rawatan tanpa rasa ragu terutama apabila membabitkan aurat.


Pengarah Urusannya, Hawa Ya’akub, berkata bersesuaian dengan namanya iaitu Hurun Ain Oasis yang bermaksud tempat berkumpul bidadari, spa dan salun ini hanya dikhususkan untuk wanita saja.


Oleh itu, lelaki tidak dibenarkan berada di sini walaupun hanya untuk menemani isteri bagi memberi keselesaan kepada semua pelanggan.

Menurut Hawa, setiap ahli terapi kecantikan yang berada di sini juga adalah wanita beragama Islam tempatan yang memiliki sijil kelayakan khusus.

Dia dan rakan kongsinya memilih untuk tidak menggunakan perkhidmatan pembantu kecantikan asing kerana ingin menyediakan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan.

Hawa berkata, idea ini mula timbul melalui pengalamannya sendiri yang sebelum ini gemar mengunjungi spa bagi merehatkan badan, namun berasa agak kurang selesa dengan keadaan persekitarannya yang sedikit ‘terbuka’ serta dikendalikan ahli terapi bukan Islam.

“Walaupun berada dalam kalangan wanita, aurat masih perlu dijaga dan tidak banyak tempat yang menawarkan konsep privasi sebegini.

“Disebabkan itu, saya bersama rakan kongsi mendapat idea membuka spa dan salun khusus untuk Muslimah agar mereka tidak mengalami suasana kekok,” katanya.

Walaupun baru memulakan operasi Februari lalu, spa ini sudah mendapat sambutan hangat daripada Muslimah terutama golongan ibu kerana selain menyediakan pakej rawatan pada harga berpatutan, ia menyediakan sudut permainan kanak-kanak.

Menurut Hawa, kemudahan ini disediakan bagi memberikan keselesaan kepada golongan ibu yang tidak dapat meninggalkan anak mereka di rumah bagi mendapatkan rawatan di spa.

“Mereka tidak perlu meninggalkan anak di rumah terutama pada hujung minggu dan boleh mengawasi mereka dengan membawa bersama ketika menjalani rawatan.

“Kanak-kanak boleh bermain di sudut yang dikhaskan semasa ibu mereka menjalani rawatan dan si ibu boleh menjalani rawatan dengan hati yang tenang,” katanya.

Antara pakej kecantikan yang disediakan Hurun Ain Oasis merangkumi rawatan kulit wajah, riasan kuku (kaki dan tangan), lulur garam, mandian aromaterapi, dandanan serta cucian rambut, inai dan melilin.

Selain itu, salun kecantikan ini juga menyediakan rawatan meluruskan rambut serta rawatan bagi rambut kering, berminyak, rosak selain kulit kepala berkelemumur serta rawatan untuk mereka yang mempunyai masalah kulit kepala sensitif.

Sementara itu, Pengurus Spa dan Salun berkenaan, Hasrina Ismail, berkata untuk rawatan kulit wajah, Hurun Ain Oasis menggunakan produk dari Perancis iaitu Maria Galland dan menawarkan dua rawatan berbeza iaitu menggunakan topeng muka tanah liat ataupun cocoon (mousse).

Rawatan topeng muka kaedah cocoon menyebabkan pelanggan mengalami kesan perpeluhan pada bahagian muka selepas disapu dengan krim rawatan khas.

Ia sesuai digunakan bagi mereka yang berusia bawah 30 tahun serta mereka yang memiliki masalah kulit kering dan kusam.

“Bagi proses rawatan topeng muka tanah liat, wajah pelanggan disapu dengan krim perlindungan mata dan bibir, krim rawatan khas serta serum terlebih dulu kemudian, pupur akan disapu pada seluruh muka hingga ke bahagian leher.

“Selepas disapu rata, pelanggan akan dapat merasai sedikit kehangatan di bahagian dalam pupur berkenaan dan suhu akan meningkat secara perlahan-lahan sehingga mencecah 42 darjah Celsius.

“Kira-kira 10 minit selepas itu, suhunya menurun sedikit demi sedikit dan ia boleh ditanggalkan apabila pupur terbabit menjadi keras sepenuhnya,” katanya.

Pelanggan tidak perlu bimbang apabila terasa sedikit hangat ketika pemakaian pupur berkenaan kerana peningkatan suhu ini bagi membantu proses penyerapan krim rawatan khas serta serum yang disapu pada peringkat awal tadi.

“Jika diperhatikan kebanyakan rawatan wajah lain menggunakan mesin seperti mesin galvanic bagi mempercepatkan proses penyerapan serum ke dalam kulit muka, tetapi produk Maria Galland menggunakan pendekatan lebih semula jadi dan selamat hanya melalui penggunaan topeng muka tanah liat.

“Malah, ibu mengandung juga boleh mengikuti proses rawatan wajah di spa ini tanpa rasa bimbang ia akan memberikan kesan pada bayi dalam kandungan kerana tiada penggunaan mesin berfrekuensi tinggi dilakukan sepanjang proses rawatan,” katanya yang menyediakan diskaun sebanyak 40 peratus bagi pelanggan yang pertama kali mencuba pakej rawatan disediakan di spa dan salun Muslimah ini.

Malah, kemudahan surau turut disediakan bagi memudahkan pelanggan menunaikan solat memandangkan ada pakej rawatan di sini memerlukan masa yang agak lama.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pakej rawatan disediakan, layari www.hurunainoasis.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: