Wednesday, January 11, 2012

KPD baru Subang Jaya fokus jenayah jalanan


Yahaya Ramli bersalaman dengan timbalannya, Tan Ah Chua pada majlis serah terima tugas dengan disaksikan Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan timbalannya.


SAYA berazam memastikan Subang Jaya menjadi daerah yang selamat untuk didiami masyarakat selain memberi tumpuan kepada jenayah jalanan agar boleh diturunkan," demikian ujar Asisten Komisioner Yahaya Ramli, Ketua Polis Daerah (KPD) Subang Jaya (OCPD) yang baru dilantik berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Pertemuan dengan pegawai kanan itu pada tanggal 3 Januari lalu dalam satu majlis serah terima tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.

Pertama kali berjabat tangan dan mengucapkan tahniah, mujurlah Yahaya kelihatan peramah dan seterusnya membolehkan penulis mengatur temu bual.

Khamis lalu, tepat pukul 3 petang, penulis dan jurugambar bersua muka dengan Yahaya yang pada ketika itu kelihatan sibuk dengan kejayaan terbaru pasukan polis di bawah pentadbirannya.

Dengan merendah diri, Yahaya memberitahu tiada apa pengalaman mahupun cerita menarik mengenai dirinya yang boleh dikongsi bersama pembaca setia ruangan gaya polis Utusan Malaysia.

Akan tetapi anak kelahiran Klang, Selangor itu menjelaskan bahawa, tanggungjawab besar kini digalas beliau selaku KPD Subang Jaya.

"Anda sedia maklum, keadaan jenayah jalanan dan kes samun kerap berlaku di Subang Jaya tetapi masih berada dalam keadaan terkawal.

"Tanggungjawab yang diberikan kepada saya untuk mengemudi pentadbiran pasukan polis di Subang Jaya ini tidak akan saya sia-siakan," katanya bersungguh-sungguh.

Bagaimanapun, Yahaya memberitahu, beliau perlu bersikap optimistik dan yakin jenayah boleh dikurangkan dengan pemantauan dan rondaan keselamatan yang kerap.

Katanya, walaupun kekangan tenaga kerja namun, beliau tetap yakin anggota dan pegawai sedia ada mampu digunakan sepenuhnya bagi menurunkan kadar jenayah.

"Tumpuan kita kepada jenayah jalanan dan kita memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan panas (hot spot).

"Ini tidak bermakna kita mengabaikan kawasan-kawasan lain. Kawasan-kawasan ini turut akan diberi perhatian untuk memastikan aktiviti jenayah tidak berleluasa," katanya.

Tambah beliau, walau tidak sampai seminggu duduk di kerusi KPD Subang Jaya, tempoh 24 jam sehari banyak dihabiskan di bilik tersebut dengan membuat penyeliaan beberapa kes penting yang masih dalam siasatan.

Selain itu, kunjungan di beberapa balai pada waktu malam dan bertemu dengan masyarakat serta pengadu menjadi keutamaan dalam memastikan masalah dihadapi mendapat perhatian pihaknya segera.

Yahaya yang pernah berkhidmat sebagai KPD Ranau, Sabah, pada 2003 turut menitik beratkan hubungan antara polis dan masyarakat.

"Saya dan seluruh warga IPD Subang Jaya akan memastikan segala aduan masyarakat berhubung masalah keselamatan di kawasan mereka akan diberi keutamaan.

"Biar mereka (masyarakat) percaya dengan kebolehan pihak polis menjamin keselamatan. Saya ingin kembalikan persepsi segelintir masyarakat terhadap masyarakat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: