Wednesday, January 11, 2012

Maritim Malaysia tunjuk ketangkasan di Langkawi


TANGKAS... Demonstrasi menumpaskan lanun yang merampas kapal layar berjaya menunjukkan keupayaan STAR dalam menjalankan tugas mereka.


DEMONSTRASI khas maritim yang dipamerkan di Jeti Awana Porto Malai kekal menjadi tarikan utama di segmen maritim sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2011 (LIMA '11) baru-baru ini.

Selama hampir 45 minit, ia mempamerkan keupayaan dan ketangkasan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebagai agensi tunggal penguatkuasaan maritim negara.

Demonstrasi itu adalah gabungan pergerakan dan keupayaan aset permukaan serta udara seperti bot pemintas Pengalang, Petir, Kilat, kapal kelas Malawali dan kelas Penyelamat serta aksi tangkas Pasukan Tindakan Khas Maritim Malaysia (STAR) bersama helikopter AS 365 N3 Dauphin.

Dengan pegangan aset maritim berjumlah kira-kira 236 kapal dan bot peronda pelbagai jenis, enam helikopter dan dua pesawat amfibia, demonstrasi yang dipertontonkan itu menggambarkan kesiap siagaan Maritim Malaysia melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Memuncak

Demonstrasi dimulakan dengan lintas lalu bot pemintas kelas Petir dengan ukuran 12 meter yang dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan. Sesuai dengan tugasnya, bot itu berkelajuan sehingga 40 knot dan boleh beroperasi di perairan seluas 400 batu nautika.

Dikendalikan seorang jurumudi bersama lima krew, ia dilengkapi sistem penentu kedudukan global (GPS) serta sistem komunikasi frekuensi tinggi (HF) dan frekuensi bergelombang tinggi (VHF).

Ia diikuti aksi bot pemintas Kilat, yang dibina oleh syarikat tempatan MSET sepanjang 7.62 meter bersama empat krew. Bot dengan kelajuan mencecah 45 knot itu dengan dua enjin sangkut berkuasa 225 kuasa kuda. Bot Kilat biasanya digunakan dalam operasi dan rondaan di pesisir pantai termasuk dalam tugas carilamat.

Pengunjung seterusnya dipertontonkan dengan kapal peronda Malawali yang beroperasi menggunakan enjin sistem jet air. Turut kelihatan bot peronda kelas Penyelamat. Sesuai dengan namanya, bot binaan syarikat tempatan itu diguna dalam operasi carilamat dengan kelajuan maksimum 35 knot.

Debaran demonstrasi semakin memuncak apabila persembahan diteruskan dengan pertunjukan keupayaan pasukan STAR dan aset udara, bermula dengan aksi bot pemintas Petir yang dipandu pada kelajuan 40 knot oleh enam krew STAR serta mampu membuat pusingan 360 darjah.

Seterusnya, STAR mempamerkan keupayaan anggota mereka mematahkan tindakan keganasan di perairan apabila diatur gerak berikutan laporan sekumpulan lanun merampas sebuah kapal layar mewah di perairan Selat Melaka.

Berpandukan laporan kecemasan yang diterima Bilik Operasi Maritim Malaysia Putrajaya, STAR digerakkan ke kawasan operasi menggunakan dua bot pemintas Petir bagi membuat tinjauan risikan.

Ia diikuti dengan atur gerak unit susulan menggunakan bot terbaru, FIC yang dibina oleh syarikat Boustead York dari Turki.

Oleh kerana usaha memujuk lanun gagal, maka tindakan penyusupan perlu dilakukan. STAR kemudiannya digerakkan menggunakan dua helikopter AS 365 N3 Dauphin dari Pangkalan Udara Subang bagi memantau dan melaksanakan operasi menyelamat tebusan.

Pada masa sama, satu lagi pasukan STAR yang berada di perairan menggunakan bot Petir diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Sebuah daripada helikopter AS 365 N3 Dauphin itu membawa bersama anggota penembak hendap yang akan bertindak selaku tim pemerhati atau pembersih sebelum membenarkan sebuah lagi helikopter menurunkan tim penggempur STAR menggunakan teknik fast roping ke kapal yang dirampas itu.

Dalam demonstrasi antikeganasan di laut itu, pasukan STAR berjaya mematahkan kegiatan lanun seteruasnya merampas semula bot layar yang dirampas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: