Wednesday, January 11, 2012

Juri tempatan jadi pilihan


LAGU Beribu Sesalan nyanyian Shila Amzah, Ning Baizura dan Jaclyn Victor antara yang mendapat perhatian kali ini.


LEBIH kurang tiga minggu sahaja lagi, anugerah muzik berprestij, Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL 26) akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Memang tidak dinafikan, acara tahunan kali ini menampilkan saingan cukup sengit apabila lagu-lagu yang dipertandingkan berada dalam liganya sendiri.

Satu yang pasti, edisi kali ini memperlihatkan penguasaan muzik indie semakin berkurangan jika dibandingkan sekitar dua tahun lalu.

Malah AJL 26 menyaksikan kebangkitan semula muzik balada dan penyanyi solo yang sebelum menjadi perhatian saban tahun dalam acara anugerah muzik itu.

Antara lagu yang menjadi perhatian kali ini termasuklah Kisah Hati dendangan Alyah, Beribu Sesalan (Ning Baizura, Shila Amzah & Jaclyn Victor), Sungai Lui (Aizat), Awan Nano (Hafiz), Penakut (Yuna) dan Sedetik Lebih (Jaclyn Victor).

Tidak dilupakan lagu-lagu seperti Kalau Berpacaran gandingan mantap Sohaimi Mior Hassan, Ana Raffali dan Altimet serta Karma (Faizal Tahir), Cinta Muka Buku (Najwa Latif) dan Wanita Seluruh Dunia (Projek Pistol).

Sebagai penganjur, nampaknya TV3 perlu lebih berhati-hati kali ini dalam soal pemilihan pemenang untuk lima tempat yang disediakan.

Apatah lagi, AJL sering kali dikaitkan dengan kontroversi yang tidak pernah berkesudahan sebaik sahaja pemenangnya diumumkan.

Lihat sahaja bagaimana kemenangan lagu Tolong Ingatkan Aku ciptaan Ana Raffali yang menjuarai AJL tahun lalu menjadi pertikaian gara-gara pihak juri dikatakan mempunyai hubungan secara langsung dengan Ana.

Bagi mengelakkan perkara seumpama itu berulang, TV3 buat pertama kalinya menggandakan jumlah juri kepada 22 orang untuk membuat penilaian pada pertandingan kali ini.

Daripada jumlah itu, seramai 18 orang akan menilai kesemua lagu yang bertanding dalam sesi penjurian sehari sebelum AJL 26 berlangsung yang merangkumi 80 peratus markah.

Untuk markah selebihnya pula akan dinilai oleh tujuh orang juri berbeza pada malam akhir yang merangkumi persembahan dan vokal.

Ini amat berbeza dengan jumlah juri sebelum ini yang hanya melibatkan tujuh atau lapan orang sahaja baik untuk penilaian sebelum pertandingan dan juga penjurian pada malam anugerah.

Namun, apakah dengan adanya 22 juri ini akan dapat mengelakkan kontroversi daripada terus berlaku dalam AJL 26?

Menjawab persoalan tu, Penerbit Eksekutif AJL 26, Muhamad Sufian Che Isa menjelaskan kontroversi sememangnya tidak dapat dielakkan dalam mana-mana pertandingan sekali pun.

“Kami memilih 22 orang juri kali ini adalah untuk memastikan penilaian kali ini lebih telus dan tepat. Untuk itu, kami akan memilih mereka yang pakar dan arif dalam bidang penciptaan lagu, lirik serta persembahan.

“Industri muzik kita pun bukannya besar sangat. Namun sebelum penjurian dilakukan, kami menasihatkan mereka terlebih dahulu agar bersikap lebih profesional tanpa perlu ada sentimen peribadi.

“Begitu juga dengan pendapat yang mengatakan sebahagian juri yang dipilih mempunyai hubungan peribadi dengan mana-mana lagu yang bertanding.

“Sebagai seorang juri, mereka harus faham tugas dan profesionalisme mereka dalam menjalankan tanggungjawab mereka,” jelas Muhamad Sufian panjang lebar ketika ditemui pada sidang akhbar AJL 26 di Wisma Bentley, Mutiara Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya, buat masa ini, panel juri masih belum ditetapkan dan semuanya masih lagi berada di peringkat perbincangan.

Dalam pada itu, Muhamad Sufian turut ditanya tentang khabar angin sebelum ini yang mengatakan AJL 26 bakal disertai oleh juri dari luar negara semata-mata mahu mengelakkan kontroversi daripada terus berlaku.

“Bagi saya, AJL merupakan pertandingan muzik tempatan dan saya tidak melihat rasionalnya untuk melantik juri luar untuk menilai lagu-lagu kita.

“Biarlah juri tempatan menilai lagu anak tempatan kerana kami di TV3 masih percaya dengan kredibiliti karyawan muzik kita yang pastinya bijak menilai karya terbaik,” ulas Muhamad Sufian berhubung isu yang diutarakan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: