KUALA LUMPUR 4 Jan. - Pelbagai gelagat murid-murid tahun satu dapat dilihat pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Selatan di sini hari ini.
Ada di antara mereka menunjukkan riak wajah ceria dan bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan baru itu manakala sebahagian yang lain dilihat sentiasa ditemani ibu atau bapa.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekolah itu mendapati sebilangan murid mula menangis apabila ibu bapa beredar meninggalkan mereka kepada guru kelas masing-masing.
Kelihatan juga sebahagian murid yang menangis dan merayu kepada ibu bapa agar duduk menemani sehingga kelas tamat.
Bagaimanapun, keadaan itu tidak lama kerana sebaik sahaja kelas bermula, mereka mula memberi tumpuan kepada guru yang mengajar.
Salah seorang murid, Harith Iddin Hairuddin, 7, mula menangis apabila melihat beberapa murid lain menangis kerana bimbang ditinggalkan ibu bapa.
Menurut bapanya, Hairuddin Nasri, 35, anak sulungnya itu sangat teruja memulakan persekolahan pagi ini, namun dia menangis apabila melihat murid lain menangis teresak-esak.
"Saya percaya dia akan berhenti menangis apabila berada dalam kelas nanti kerana dia seorang anak yang mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.
"Pendedahan selama dua tahun di prasekolah membuatkan saya yakin Harith Iddin boleh menyesuaikan diri dengan persekitaran baru ini serta boleh bergaul dengan rakan-rakan sekelasnya," katanya.
Turut dilihat menangis ialah Sean Yee Jia Le, 7, dan D. Reshma yang langsung tidak mahu melepaskan tangan ibu mereka apabila arahan masuk ke kelas diumumkan guru bertugas.
Bagi sepasang kembar, Adam Hafiz dan Adam Haris Mohd. Idilfitri pula lain ceritanya apabila mereka kelihatan tenang dan khusyuk mendengar penerangan daripada guru kelas.
Adam Hafiz yang bercita-cita menjadi pegawai polis berkata, dia suka ke sekolah kerana dapat belajar bersama adiknya serta mempelajari perkara baru terutama mewarna dan melukis.
"Adik saya bercita-cita menjadi askar, jadi kami hendak belajar bersungguh-sungguh dan jadi budak pandai," katanya.
Begitu juga dengan kembar perempuan tidak seiras, Pebbles Cheang Mayy Ci dan Penelope Cheang May Re yang kelihatan teruja mengikuti pengajaran yang disampaikan guru.
"Ibu pesan agar kami belajar sungguh-sungguh dan menjaga satu sama lain. Lagipun, pergi ke sekolah adalah perkara yang amat menyeronokkan kerana dapat belajar banyak benda baru," kata mereka yang bercita-cita menjadi artis dan doktor gigi.
Dalam pada itu Guru Besar sekolah berkenaan, Azhari Omar berkata, hanya seminggu tempoh yang diberikan kepada ibu bapa untuk menemani anak-anak di sekolah.
"Ibu bapa boleh berbuat demikian hanya pada waktu rehat. Mereka dilarang sama sekali berada di kelas atau berdekatan kelas demi melancarkan lagi program transisi yang diaturkan.
"Ia bertujuan mempercepatkan lagi proses penyesuaian diri murid-murid terhadap persekitaran di sekolah," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: