Thursday, January 19, 2012

Kaki Bukit FC harap tuah menjelma di Putrajaya


PARA pemain Kaki Bukit FC sudah sedia dari segi mental dan fizikal untuk bertarung pada Kejohanan Futsal 1Malaysia Parlimen Peringkat Kebangsaan 2012.


GEORGE TOWN - Kaki Bukit FC yang mewakili Parlimen Bukit Bendera mempunyai strategi tersendiri bagi menundukkan lawan pada Kejohanan Futsal 1Malaysia Parlimen peringkat Kebangsaan 2012.

Dibarisi pemain muda berusia antara 20 hingga 30 tahun, pasukan itu meletakkan kepercayaan kepada kemantapan posisi serangan untuk meraih kemenangan.

Pengurus pasukan, Nazim Abdul Rahman berkata, para pemainnya sudah sedia untuk 'bertempur' dengan pasukan-pasukan lain yang pastinya mempunyai kekuatan masing-masing.

"Ini adalah kejohanan yang mencabar kerana menemukan pasukan-pasukan juara dari kawasan Parlimen seluruh negara. Namun, kami sudah bersedia sepenuhnya untuk memberi saingan sengit," katanya di sini semalam.

Menurutnya, tumpuan juga diberi kepada ketahanan stamina pemain agar mampu bertarung dalam kategori lelaki 15 tahun ke atas.

"Persediaan fizikal amat penting kerana pemain akan beraksi dalam banyak perlawanan selain menghadapi cuaca panas dan mungkin juga hujan.

"Hanya pasukan yang memiliki ketahanan mampu mara lebih jauh dalam kejohanan itu nanti," katanya.

Pasukan itu dibarisi Syahrul Nizam Kamaruddin; Md. Izairi Mohd. Ali; Mohd. Fariz Marwah; Ahmad Faizal Abdul Rahman; Amiruldin Abd. Aziz; Musczeifula Musa; Afifi Nayan dan Mohd. Aiman manakala Shamsul Sharil Suib selaku jurulatih.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: