Thursday, January 19, 2012

Wanita muda, tahan lasak jadi harapan Arau FC


PASUKAN Arau FC diperkuatkan oleh barisan pemain wanita muda yang berazam menggegarkan Putrajaya.


KANGAR - Muda, tahan lasak dan bersemangat tinggi.Itulah ciri-ciri pemain wanita yang dipilih bagi mewakili pasukan futsal, Arau FC untuk bertanding pada Kejohanan Futsal 1Malaysia Parlimen peringkat Kebangsaan 2012 yang bermula esok.

Pengurus pasukan, Amran Hamdi berkata, mereka membariskan muka baharu dan lebih bertenaga dengan menyasarkan pencapaian lebih baik berbanding kejohanan tahun lalu.

Jelasnya, bagi kejohanan kali ini, pasukan itu akan mengandungi lapan pemain baharu yang berusia antara 16 hingga 34 tahun untuk membawa cabaran dalam kategori wanita 15 tahun ke atas.

"Jika pada kejohanan lalu, pasukan kami sekadar layak ke peringkat suku akhir namun untuk kejohanan di Putrajaya ini, kami mahu beraksi sekurang-kurangnya hingga ke separuh akhir.

"Pemain kali ini lebih pantas dan konsisten dalam permainan mereka. Ini adalah pasukan terbaik yang akan mewakili Parlimen Arau," katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Amran, mereka juga mengadakan persiapan rapi sejak tiga bulan lalu bagi memantap strategi permainan untuk menghadapi kejohanan itu.

"Kami juga mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan lain dan berjaya mencatat keputusan yang baik," katanya.

Tambahnya, semangat pemain kini berkobar-kobar untuk mencatat kejayaan bagi mengharumkan nama Parlimen Arau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: