
SERDANG – Bahang Kejohanan Futsal 1Malaysia Parlimen peringkat Kebangsaan 2012 yang bermula esok kian terasa apabila pasukan-pasukan bertanding mula mendaftarkan diri semalam.
Sebanyak 114 pasukan yang mewakili Parlimen Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak mengesahkan penyertaan pasukan mereka pada sesi pendaftaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini semalam.
Kesemua pasukan tersebut tiba di UPM sejak kelmarin dan menginap di perkampungan sukan yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Penolong Pegawai Belia dan Sukan KBS, Hus Zaidi Shamsu Ariffin berkata, penganjur menetapkan dua hari untuk pendaftaran bagi kejohanan yang akan berlangsung di Kompleks Futsal 1Malaysia di Presint 18, Putrajaya itu.
“Pada hari pertama, kita akan menerima pasukan dari Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak manakala esoknya (hari ini), pasukan dari Semenanjung akan mendaftar.
“Setakat ini pendaftaran berjalan lancar dan pihak urus setia dapat mengendalikan semua urusan dengan baik,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Hus Zaidi berkata, pasukan yang akan mendaftar pada hari ini diminta datang awal kerana pendaftaran ditutup pada pukul 6 petang dan perasmian kejohanan berlangsung malam ini.
Kejohanan selama tiga hari itu akan disertai 444 pasukan yang mewakili 222 Parlimen seluruh negara.
Ia mempertandingkan dua kategori iaitu lelaki dan wanita 15 tahun ke atas serta menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM68,400.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: