Friday, January 6, 2012

David Teo promosi askar Wataniah


DAVID Teo dinaikkan pangkat sebagai Mejar Kehormat dalam askar Wataniah baru-baru ini.


DAVID Teo bukan sahaja aktif menerbitkan filem-filem Melayu sejak tahun 2001 menerusi syarikat produksinya, Metrowealth Pictures tetapi dia juga banyak terbabit dalam kerja-kerja amal sehingga kini.

Malah, kesanggupan penerbit berasal dari Segamat, Johor ini menyertai pasukan askar Wataniah pada Jun tahun lalu misalnya telah membuka mata banyak pihak yang terbabit.

Ekoran komitmen dan kesedarannya yang tinggi terhadap pasukan itu menyebabkan David dianugerahkan pangkat Mejar Kehormat dalam suatu majlis yang di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut penerbit berusia 47 tahun ini, dia agak terkejut dengan pelantikan itu biarpun baru enam bulan menyertai pasukan yang terletak di bawah naungan Angkatan Tentera Malaysia itu.

"Malah, saya difahamkan orang yang berusia 45 ke atas tidak layak menjadi askar Wataniah kerana saya sekarang berusia 47 tahun. Mungkin ada sebab lain mereka memilih dan menerima saya.

"Ini juga mungkin kelonggaran yang diberikan untuk pasukan Platun Seni yang kebanyakannya dianggotai oleh golongan artis," katanya kepada Hits sewaktu ditemui baru-baru ini.

Pada pertemuan sebelum pratonton filem Papa I Love You terbitan Metrowealth Pictures itu, David berkata, pelantikannya sebagai Mejar Kehormat itu suatu anugerah tertinggi yang pernah diterimanya.

Malah, dia tidak menyangka komitmen dan minat yang ditunjukkannya sejak menyertai latihan di Regimen 515, Mindef, Kuala Lumpur pada tahun lalu memberikannya suatu semangat baru.

"Sepanjang menyertai latihan selama 240 jam atau dalam masa 30 hari saya telah mendapat banyak pengalaman baru termasuklah cara-cara menggunakan senjata api seperti M16.

"Saya tidak menyangka dinaikkan pangkat kepada Mejar Kehormat di mana ia mungkin kerana sikap serta dedikasi saya sewaktu menyertai pasukan ini yang banyak membuka mata pihak-pihak yang tertentu.

"Atas rasa kesedaran bagi mempertahankan kedaulatan negara saya sanggup menghabiskan banyak masa saya dalam pasukan itu di mana saya juga tidak mengambil elaun yang disediakan mungkin antara sebabnya.

"Dengan pelantikan jawatan saya ini, saya berjanji akan membantu mempromosikan lagi askar Wataniah agar ia disertai lebih ramai golongan muda termasuklah artis tempatan pada masa depan," ujarnya bersemangat.

Sebagai galakkan, David telah memberi kelonggaran waktu bekerja kepada para kakitangannya dan artis-artis lain agar menyertai pasukan keselamatan tersebut.

Jelasnya, antara artis yang telah menyertai askar Wataniah ialah Lisa Surihani, Shahiezy Sam, Diana Amir dan Norliana Shamsudin serta para pekerja Metrowealth Productions.

"Seramai 16 kakitangan saya telahpun menyertai askar Wataniah. Saya akan beri kelonggaran kepada mereka apabila dipanggil untuk menyertai latihan dan sebagainya," jelasnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: