FORD baru-baru ini mengumumkan bahawa jualan runcitnya sepanjang tahun 2011 melonjak 145 peratus kepada 7,188 kenderaan berbanding tahun sebelumnya. Ia sekali gus mencatatkan prestasi tahunan terbaik syarikat sejak 1997.
"Pencapaian ini sungguh memberangsangkan buat Ford dan rakan niaga Sime Darby AutoConnexion. Ia membuktikan komitmen tidak berbelah-bahagi kami terhadap perniagaan dan pelanggan di Malaysia," kata Pengurus Serantau, Asia Pasifik, Operasi Eksport & Pertumbuhan Ford, David Westerman.
Kejayaan luar biasa Ford pada tahun lalu diterajui oleh pelancaran dan kejayaan Ford Fiesta serba baharu. Kereta kompak tersebut mencatat jualan sebanyak 4,297 unit pada tahun pertama ia ditawarkan.
Fiesta mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan generasi muda Malaysia. Ramai pelanggan tertarik dengan kelebihannya dari segi teknologi pintar, penjimatan minyak, reka bentuk hebat, keselamatan dan bernilai untuk wang.
Tahun cemerlang itu juga disokong oleh prestasi mantap pikap Ford Ranger yang popular menerusi peningkatan jualan lebih 17 peratus kepada 2,274 unit. Jualan runcit Ford Focus juga naik 58 peratus kepada 263 unit berbanding tahun sebelumnya.
Ford S-Max serba baharu dan Ford Mondeo turut mendapat sambutan yang baik daripada pasaran pada 2011. S-Max membuktikan usaha Ford untuk terus melancarkan kenderaan One Ford yang terbaik dalam kategorinya apabila dipilih sebagai Kereta Terbaik Malaysia 2011 (COTY) dalam segmen kenderaan serba guna (MPV).
"Kami terus mencapai kemajuan besar dalam rancangan One Ford sepanjang 2011. Nampaknya, pelanggan Malaysia memberi sambutan yang amat positif kepada jenama Ford.Kami percaya tahun 2012 pasti lebih menarik bagi Ford di Malaysia dengan pelancaran Ranger serba baru dan produk-produk lain," tambah Westerman.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: