DALAM persaingan jualan kenderaan hibrid tempatan, Toyota Prius kalah kepada Honda Insight. Salah satu sebab utamanya ialah harga Insight yang jauh lebih murah berbanding Prius.
Walaupun teknologi kedua-dua model tersebut sama tetapi tidak serupa dengan sistem Prius yang lebih kompleks dan canggih, namun ia masih tidak cukup untuk menjustifikasikan kenapa orang ramai perlu membeli Prius.
Insight dipasarkan pada harga sekitar RM97,000 sementara Prius pula ditawarkan pada takat harga hampir RM140,000. Biarpun begitu, senario tersebut dijangka berubah dengan pengenalan hibrid terbaharu Toyota iaitu Prius c.
Di laman web jual beli kenderaan juga sudah tersebar iklan model tersebut. Paling menarik, harga yang diuar-uarkan adalah di bawah RM105,000. Sekarang, siapa yang tidak teruja?
Huruf c pada model itu sebenarnya adalah singkatan kepada perkataan city. Prius c direka sebagai kereta yang mesra bandar dengan penggunaan minyak menjimatkan. Model itu adalah pelengkap kepada famili Prius yang terdiri daripada Prius Liftback, Prius v (MPV) dan Prius Plug-in Hybrid.
Prius c disasarkan kepada pembeli muda yang mahukan sebuah kereta bergaya, jimat minyak dan mempunyai sistem multimedia canggih. Selain itu, skala saiz Prius c yang kompak juga adalah faktor utama pembelian bagi mereka yang tidak mahukan ruang berlebihan. Prius c lebih kecil dan ringan berbanding Prius biasa iaitu 19.1 inci lebih pendek dan 246kg lebih ringan.
Mengitar semula sistem hibrid Toyota atau lebih popular dikenali dengan nama Hybrid Synergy Drive pada platform Prius c yang lebih kecil bukanlah satu kerja mudah. Untuk itu, setiap komponen utama perlu direka semula supaya lebih ringan, kecil dan menjimatkan.
Pengendalian lebih baik
Pakej komponennya juga perlu dibuat dengan bijak agar keselesaan penumpang tidak terganggu berikutan sistem hibrid yang menuntut banyak ruang. Komponen seperti enjin, transaxle dan unit kawalan kuasa dipasang secara optimum pada kenderaan bagi mendapatkan pengagihan berat bersesuaian serta titik tengah graviti yang rendah.
Bateri hibrid dan tangki minyak pula dipasang di bawah kerusi belakang yang secara langsung dapat membantu pengendalian kereta menjadi lebih baik.
Sistem Hybrid Synergy Drive mengintegrasikan operasi beberapa komponen seperti enjin petrol, motor elektrik dengan Continuosly Variable Transaxle, bateri nickel-metal hydride, unit kawalan kuasa (inverter), pengubah DC-DC, step-up converter dan komputer kawalan hibrid.
Komputer kawalan hibrid tersebut berfungsi sebagai pusat kawalan utama dalam memastikan enjin petrol dan kuasa elektrik bergerak lancar dalam pelbagai corak pemanduan serta mode yang dipilih pemandu.
Enjin Prius c bersesaran 1.5 liter menggunakan kitaran Atkinson bagi meningkatkan kecekapan. Enjin itu berkuasa 73 kuasa kuda dan gabungan kuasa elektrik menjadikan kuasa totalnya sebanyak 99 kuasa kuda.
Prius c menawarkan seleksi pemanduan dengan tiga mode iaitu Normal, Eco dan EV. Mode Eco mengurangkan penggunaan tenaga dengan mengawal suhu dan kuasa enjin bagi mendapatkan kecekapan tenaga. Mode EV pula menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya untuk jarak dekat dengan kelajuan rendah.
Struktur badan Prius c menggunakan bahan ringan seperti besi regangan tinggi bagi mengurangkan berat dan penggunaan minyak. Aplikasi besi regangan tinggi secara strategik pula membolehkan badan kereta menyerap hentakan dan menyebarkan tenaga impak, seterusnya menjadikan penumpang lebih selamat.
Ketegaran badan kereta juga turut menjadikan pemanduan dan pengendalian lebih mantap. Bahagian luaran Prius c pula menampilkan imej yang menyeronokkan dan muda bagi menarik perhatian sasaran pelanggan. Ciri-ciri aerodinamik pada Prius pula menyumbang kepada pekali seret yang rendah iaitu 0.28.
Jika benarlah Prius c ini dibawa masuk ke pasaran tempatan, maka UMW Toyota harus dipuji kerana kereta itu baru sahaja dilancarkan di beberapa pasaran dunia pada penghujung tahun lalu dan awal tahun ini. Pelanggan tempatan pula harus rasa seronok kerana jarang benar kereta berteknologi tinggi dan baru dilancarkan dibawa masuk ke sini.
Pujian juga harus diberi kerana melambakkan lagi kereta hibrid dalam pasaran tempatan. Harapnya pengeluar-pengeluar kereta hibrid dapat meningkatkan lagi industri automotif Malaysia selepas mereka lari atau membawa diri ke negara ASEAN lain. Semoga kita menjadi pasaran utama kenderaan mesra alam.
Dengar kata, UMW Toyota akan melancarkan Prius c pada bulan depan. Betul atau tidak, sama-sama kita nantikan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: