Saturday, January 28, 2012

Meneruskan legasi wagon



SELEPAS pengenalan model sedan S60 dan kompak kenderaan utiliti sukan (SUV) XC60, Volvo menampilkan model terbaharu dalam rangkaian siri 60. Jentera kali ini dikatakan menjadi model paling dinamik pernah dihasilkan oleh pengeluar jenama Sweden itu. Percaya atau tidak, ia sebuah station wagon!

Bukan seperti model station wagon era 70-an atau 80-an, model baharu ini disaluti elemen kemodenan. Apa yang pasti, ini bukannya lagi kereta pakcik atau kereta orang tua. Malah istilah station wagon pun ditukar menjadi sports wagon.

Istilah sport wagon dibuat seiring dengan justifikasi yang dilakukan pada V60. Kali ini, jentera station wagon keluaran Volvo dicipta seperti sebuah kereta coupe. Dengan penambahan ciri-ciri yang lebih menarik berbanding model sedan S60, Volvo menyifatkan inilah model paling dinamik dihasilkan.

Ketua Pereka Luaran untuk Volvo V60, Orjan Sterner berkata, daripada aspek reka bentuk, fokusnya untuk membangunkan sebuah kereta yang hampir menyamai sebuah coupe. Pada masa yang sama memberi ruang kargo luas di bahagian belakang. Sports wagon itu bagaimanapun bukan untuk menyaingi kenderaan wagon tradisional.

Sebenarnya, model V60 ialah jentera wagon model S60. Ia dipertontonkan kepada umum sewaktu Paris Motor Show pada Oktober 2010. Pesaing terdekat bagi jentera buatan Sweden itu ialah BMW 3 Series Touring, Audi A4 Avant dan Mercedes-Benz CL Class Estate.

Jika pelanggan Volvo masih memerlukan ruang yang lebih luas, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Volvo Cars Serantau Asia, Peter Johnson memberitahu, pilihannya tetap ada iaitu model XC60 dan XC90.

Harus diakui bahawa saiz pasaran untuk kenderaan station wagon atau sports wagon di Malaysia amat kecil. Lihat sahaja pendekatan pengeluar-pengeluar kenderaan lain yang memilih untuk tidak memperkenalkan model sedemikian ke dalam pasaran tempatan.

Pemasaran tempatan


REKA bentuk bahagian sisi menampilkan gaya kenderaan coupe.


Berbeza dengan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, sambutan terhadap model-model station wagon mendapat tempat dalam hati golongan muda. Maka tidak hairanlah, rata-rata pengeluar kenderaan wagon lebih suka memasarkan produk mereka di sana.

Senarionya berbeza untuk Volvo Car Malaysia Sdn. Bhd. (Volvo Malaysia). Model V60 dipasang dan dikeluarkan menerusi kilang Volvo di Shah Alam, Selangor. Walaupun volum pengeluarannya tidaklah sebesar mana, pemasangan tempatan membolehkan harganya lebih rendah jika dibandingkan dengan model diimport sepenuhnya (CBU).

Setakat ini, hanya Volvo Malaysia yang memasang model wagon di negara ini walaupun sudah mengetahui kek pasaran model itu kurang digemari. Apa rasional berbuat demikian?

“Pengeluar kenderaan lain secara tradisional keberatan untuk membawa station wagon ke dalam pasaran tempatan kerana ia kurang popular. V60 akan menguji pasaran memandangkan hanya Volvo yang menawarkan produk dalam segmen sports wagon.

“Model baharu ini akan menjadi pemacu pertumbuhan kami. Apa yang baharu itulah yang hangat. Tanpa tawaran baharu, kami tidak mungkin berjaya dalam pasaran,” jelas Pengurus Produk Serantau Volvo Car Asia Pasific, Akhtar Sulaiman.

Sports wagon V60 dijangka menyumbang sebanyak 10 peratus atau jualan sebanyak 120 unit setahun. Tahun ini, Akhtar berkata, unjuran jualan semua varian diletakkan pada paras 1,300 unit berbanding 800 unit tahun lalu.

Bahagian hadapan V60 menyerupai sedan S60. Belakangnya pula memiliki iras-iras model C30. Ruang dalaman berbeza dengan model sebelumnya. Bahagian kokpit V60 mempunyai alur reka bentuk dinamik dan sporty.

Butang fungsi dan kawalan diperkemaskan. Konsol tengah pula dicondongkan ke arah pemandu. Tujuannya untuk memudahkan fokus dan kawalan sewaktu pemanduan. Pereka Volvo sebenarnya mengadun inspirasi litar lumba ke dalam jentera tersebut.

Teknologi terkini


BAHAGIAN hadapan menyamai model S60.


Apa yang dimaksudkan dengan model paling dinamik ialah kandungan teknologi tinggi di dalamnya. Antaranya ialah Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Queue Assist dan Distance Alert. ACC membantu pemandu mengekalkan jarak selamat dengan jentera di hadapan. Ciri itu akan beroperasi pada kelajuan di bawah 30 kilometer sejam (km/j) sehingga kenderaan itu berhenti.

Tidak ketinggalan juga amaran pelanggaran dengan keupayaan membrek penuh dan Pedestrian Detection, Blind Spot Information System (BLIS), Dynamic Stability dan Traction Control (DSTC).

Tidak ketinggalan aspek keselamatan seperti ABS, EBD, RAB, FBS, IDIS, ABL, beg udara barisan hadapan dan sisi jentera, selain ISOFIX kerusi kanak-kanak dengan dua tahap booster tempat duduk.

Hanya dua varian diperkenalkan iaitu T4 dan T5. Kedua-dua varian itu menggunakan enjin petrol Gasoline Turbocharged Direst Injection (GTDi). Ia merupakan sistem suntikan terus bahan api terkini Volvo yang membenarkan penggunaan petrol rendah tanpa mengurangkan prestasi dan keseronokan pemanduan.

T5 menggunakan khidmat enjin 2.0 liter manakala T4 dengan enjin 1.6 liter. Enjin T4 ialah enjin petrol baharu Volvo. Ia mampu meledakkan kuasa maksimum 180hp dengan transmisi Powershift klac berkembar.

Mungkin kelesuan segmen station wagon atau sports wagon akan beransur pulih dengan keberanian pengeluar seperti Volvo memperkenalkan lebih banyak produk. Mungkin juga ia memakan diri. Sama-samalah kita saksikan perjalanannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: