Thursday, January 19, 2012

Inovasi inner berlabuci


Fauziah Abd. Aziz menunjukkan inner berlabuci yang sesuai digayakan bersama blaus tanpa lengan.


Wanita hari ini semakin menyerlah dan berani memberikan yang terbaru dari segi pemilihan fesyen dan tidak teragak-agak mengenakan fesyen yang terkini di pasaran untuk tampil cantik dan selesa.

Biarpun teguh menjaga tatasusila dengan pemakaian tudung, misalnya, mereka tetap tidak mahu ketinggalan dalam menikmati fesyen terkini yang disuai padan agar kena dengan penampilan dan tetap menutup aurat.

Salah satu cara untuk menjaga penampilan agar sentiasa mematuhi hukum dan syariat Islam, golongan wanita yang bertudung akan mengenakan inner (blaus dalam) yang akan dipadankan dengan apa sahaja baju atau rekaan di sebelah luarnya.

Selain tampak lebih cantik dan elegan, ia juga membantu dalam memberikan penampilan yang hebat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CMC Benefit, Datin Fauziah Abd. Aziz, bersesuaian dengan keadaan semasa, pemakaian inner dilihat oleh Fauziah bakal memberikan satu cetusan fesyen terbaru dalam pasaran fesyen tempatan yang dilihat mampu memberikan pulangan lumayan.

''Tapi malangnya inner yang ada sekarang ini selalunya plain (kosong), kalau ada hiasan pun mungkin sedikit kerawang pada bahagian lengan, selebihnya ia tidak menarik langsung.

''Pihak saya telah mengkaji selama beberapa bulan mengenai pemakaian inner ini yang kelihatan polos biarpun di padankan dengan jubah atau baju yang berharga ribuan ringgit misalnya," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Tambah Fauziah, apabila individu itu bercakap atau berinteraksi dengan orang ramai atau individu lain, gerakan tangan dan lengan pastinya akan mendapat tempat dan pastinya selain wajah, ekor mata juga akan tertumpu di bahagian itu.

''Malangnya pemakaian inner yang kosong sekarang ini menyebabkan bahagian lengan dan tangan kelihatan kosong dan tidak menarik.

''Justeru, dalam hal ini saya telah memberikan sedikit sentuhan inovasi kepada inner yang ada untuk disesuaikan dengan sebarang fesyen yang akan dipakai oleh golongan wanita iaitu menambahkan jahitan manik di bahagian lengan agar memberikan inner ini menjadi lebih bergaya dan menarik," jelasnya.

Baru dilancarkan produk inner ini dalam minggu pertama tahun ini dengan pemakaian jenama purpleturtle, Fauziah optimis inovasinya kali ini berjaya dan pasti mendapat sambutan daripada orang ramai dan pastinya bakal mendapat persaingan daripada usahawan tempatan lain.

Blaus ini katanya memang menarik yang boleh dipadankan dengan busana muslimah lain atau boleh dipakai begitu sahaja.

Kata Fauziah, jahitan manik-manik yang diimport dari Jepun pada lengan inner atau blaus dari kain kapas jersi itu merupakan jahitan tangan yang memerlukan perhatian yang amat teliti yang kadangkala memerlukan masa dua hingga tiga hari untuk menyiapkannya.

Setiap rekaan berdasarkan elemen dan motif yang berlainan pastinya akan memberikan karakter berbeza setiap rekaan jahitan manik berkenaan untuk mendapatkan yang eksklusif.

''Saya memang senang dengan rekaan fesyen busana muslimah, saya lihat ramai di kalangan pereka fesyen lebih terarah kepada tudung dan jubah, namun saya rasa biarlah saya bermula dengan inner ini yang rasanya agak terabai dari segi inovasi.

''Saya rasa dengan pemakaian inner ini membuatkan si pemakainya tidak perlu lagi memakai aksesori di lengan kerana ia telah semula jadi cantik.

''Setakat ini Alhamdulillah, baru sahaja dipasarkan, kami telah menerima tempahan daripada orang ramai termasuk usahawan dari Singapura," katanya.

Tambahnya lagi selain mempelbagaikan pemakaian inner itu, beliau tidak teragak-agak untuk memberikan nafas baru terhadap inner termasuk kesesuaian warna, rekaan dan sebagainya pada masa depan.

Dalam pada itu beliau memberitahu, inner berwarna hitam adalah pilihan istimewa yang sentiasa menjadi ikutan di kalangan penggemar fesyen dan dijual dengan harga RM159.90.

Kepada yang berminat boleh melayari www.cmcbenefit.com.my atau talian 03-561 22282.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: