Thursday, January 19, 2012

Ceongsam batik sambut Tahun Naga


Hideaki Lim (kanan) bersama model yang menggayakan gaun rekaan terbarunya bertemakan futuristik.


GONG XI, GONG XI. Tahun Baru Cina akan tiba beberapa hari lagi. Masyarakat Cina kini semakin sibuk dengan segala persiapan bagi menyambut hari perayaan mereka itu. Di sekitar ibu negara serta di pusat-pusat membeli-belah pula dipenuhi hiasan dan dekorasi yang bersesuaian bagi menambah kemeriahan

Tahun ini masyarakat Cina akan menyambut Tahun Naga Air, jadi hampir semua hiasan pasti memasukkan elemen haiwan tersebut.

Pereka fesyen, Hideaki Lim turut tidak terkecuali menjadikan naga sebagai elemen dalam rekaan fesyennya sempena menyambut Tahun Baru Cina pada tahun 2012 ini.

Pereka yang telah berpengalaman selama 20 tahun dalam rekaan fesyen ini bekerjasama dengan Pengarah Urusan Jadi Batik, Colin Yong bagi menghasilkan lukisan batik yang mempunyai elemen naga bagi ceongsam rekaannya.

Selain itu, beliau turut memasukkan elemen barang kemas daripada Kelvin Gems dalam rekaan tersebut supaya ceongsam tersebut nampak lebih eksklusif dan bergaya.

Pada satu pertunjukan fesyen sempena sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan di Hotel Federal, Kuala Lumpur baru-baru ini, Hideaki telah mempersembahkan 10 rekaan ceongsam dengan sentuhan elemen batik dan futuristik.

Setiap helai dalam koleksi ceongsam rekaan Hideaki nampak unik dengan lukisan batik bermotif naga dan buluh yang dibuat di atas fabrik satin dan kain kapas.

Hideaki yang menggelar rekaan terbarunya sebagai ceongsam batik siber, mengakui ia adalah eksklusif kerana hanya ada satu bagi setiap rekaan.

Selain merah yang menjadi warna kemestian dalam sambutan Tahun Baru Cina, Hideaki berani mengetengahkan warna kuning terang, coklat dan kuning keemasan.

Warna kuning, emas dan coklat membawa pengertian kemewahan dan mendapat keuntungan yang banyak.

Petang itu, rekaan ceongsam batik siber Hideaki tersebut telah diperagakan oleh J 'zelynn Simon (penyanyi), Candy Ice, Wilson Tan dan Rennee Chong.

Bertanya kepada Hideaki mengenai rekaan tersebut, katanya, dia cuba lagi daripada ciri-ciri batik tradisional yang lazimnya menampilkan motif penuh dan sarat dengan warna-warna terang.

"Ini menjadi salah satu sebab mengapa golongan muda kurang menggemari memakai batik kerana coraknya nampak terlalu padat dan rumit.

moden dan bergaya

"Bagaimanapun dengan lukisan batik siber ini, batik boleh nampak moden dan bergaya serta boleh menarik minat golongan muda untuk memakainya,'' ujar Hideaki yang merupakan perintis pereka futuristik di Malaysia.

Kerana minat dan komitmen Hideaki dalam rekaan siber, beliau pernah memenangi anugerah International Design Award for Fashion Beyond 2000.

Beliau menjelaskan, sebelum mendapat anugerah tersebut lagi beliau menaruh minat yang mendalam terhadap siber.

"Saya mempunyai banyak inspirasi mengenai siber tetapi ramai yang tidak dapat menerima idea saya. Biasanya apabila orang bercakap mengenai siber, mereka hanya melihat sesuatu yang maya dan bukan realiti.

"Bagaimanapun setelah saya mendapat anugerah tersebut, barulah masyarakat boleh menerima idea saya,'' katanya yang bercadang untuk menghasilkan rekaan barang kemas siber pada masa akan datang.

Tambah beliau, melalui rekaan batik siber Tahun Baru Cina ini, beliau berharap dapat mendidik masyarakat terutama golongan muda untuk berminat memakai batik siber.

Sementara itu, J'Zelynn berpendapat, selain mempunyai konsep tradisional, rekaan ceongsam Hideaki turut disuntik dengan elemen siber bagi disesuaikan dengan generasi muda.

Tambahnya, selain merah, Hideaki turut memilih warna kuning untuk rekaannya kerana lukisan yang terdapat dalam ceongsam tersebut turut dibuat menggunakan warna merah.

"Rekaan ceongsam ini boleh dipakai untuk pelbagai majlis seperti majlis rasmi, rumah terbuka saudara-mara atau duduk di rumah menunggu tetamu datang,'' katanya yang membeli tiga helai baju sempena Tahun Baru Cina ini.

Wilson Tan yang memperagakan baju batik siber lelaki berkata, beliau menyukai rekaan Hideaki kerana Hideaki memahami rekaan bagaimana yang sesuai dengan generasi muda lelaki.

Katanya, warna yang dipilih juga lembut dan tidak terlalu terang kerana kebanyakan lelaki tidak suka memakai baju-baju yang berwarna terang.

Kebanyakan koleksi ini jelasnya, sesuai untuk kasual dan juga majlis formal kasual.

Rennee Chong yang menyukai rekaan ceongsam ala baju penari balet menganggap rekaan Hideaki lain daripada lain.

"Kebanyakan ceongsam yang kita lihat berpotongan lurus dan ketat serta terbelah di kiri dan kanan paha.

"Bagaimanapun ceongsam Hideaki ini nampak berbeza dan kelainan inilah yang memikat saya dan saya pasti akan memakainya semasa Tahun Baru Cina nanti,'' jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: