Thursday, January 19, 2012

Koleksi alam semula jadi


Koleksi piuter bertemakan alam semula jadi yang kini boleh didapati di semua bilik pameran Royal Selangor.


KEMPEN menderma piuter anjuran Royal Selangor diakhiri dengan pelancaran Alam Collection yang terdiri daripada loket-loket dan arca-arca yang diilhamkan oleh alam semula jadi.

Menyambut kemegahan hutan tempatan, satu pertiga daripada kutipan jualan ini akan disumbangkan kepada Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) untuk membantu usaha-usaha pemuliharaan habitat dan pendidikan alam sekitar.

Majlis pelancaran koleksi tersebut diadakan di kedai jualan utama jenama piuter yang berusia 126 tahun itu di Pavilion, Kuala Lumpur.

Turut hadir pada majlis ini adalah dua pengarca terkenal Malaysia, Tengku Sabri Ibrahim dan Zainal Abidin Musa yang telah mereka koleksi yang diperbuat sepenuhnya daripada piuter.

Menurut Tengku Sabri, beliau mengambil inspirasi daripada cerita-cerita teladan zaman kanak-kanaknya dengan membentuk tiga arca, Beragas, Bokbon dan Kerong.

Beliau percaya ketiga-tiga arca yang menjadi subjeknya mungkin boleh wujud dalam hutan belantara.

Zainal Abidin pula telah mereka loket Fern, Pinang dan Lover's Pod yang mengambil inspirasi daripada haiwan, serangga dan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di hutan.

Berucap di majlis pelancaran, Pengurus Besar Royal Selangor International, Yong Yoon Li berkata, setelah tiga bulan kempen, kini pihaknya dapat menyaksikan kemuncak kempen yang akan membantu MNS dalam usaha-usaha pemuliharaan hutan dan hidupan liar.

''Kami juga amat berbangga kerana Tengku Sabri dan Zainal Abidin telah memberi sentuhan artistik mereka untuk mencipta sebuah koleksi yang menawan dan unik.

"Kami juga berterima kasih kepada mereka yang sudi menyumbangkan barangan piuter lama mereka untuk dikitar semula.

''Pelancaran koleksi ini juga dapat menonjolkan usaha-usaha MNS memulihara hutan Hutan Hujan Tropika Belum yang berusia 130 juta tahun.

"Kami juga amat berterima kasih kerana terdapat badan-badan korporat seperti yang telah sudi menderma beberapa barangan piuter lama untuk dikitar semula dengan tujuan amal," tambah Yong.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: