
LEBIH 400 kakitangan Canon termasuk ahli keluarga mereka berkumpul di taman tema Sunway Lagoon, Selangor baru-baru ini bagi menyambut Hari Keluarga Canon 2011.
Program tersebut bukan sekadar untuk bersuka ria bahkan, bertujuan meningkatkan perpaduan sesama rakyat Malaysia.
Program yang diadakan itu dilihat mampu menyemarakkan semangat kerjasama, hormat-menghormati dan menanam nilai-nilai murni dalam kalangan kakitangan syarikat yang sinonim dengan produk seperti kamera dan pencetak itu.
Sambutan hari keluarga tersebut yang bermula pada pukul 8 pagi hingga 6 petang diserikan dengan pelbagai acara sukaneka bagi memberi peluang kepada ahli keluarga Canon meraih pelbagai hadiah lumayan.
Antaranya baling bola dalam baldi, tarik tali, melukis muka dan pertandingan mewarna.
Tidak ketinggalan acara yang paling ditunggu-tunggu iaitu cabutan bertuah turut diadakan sepanjang program.

Majlis tersebut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu kehormat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd. (Canon), Melvyn Ho bersama keluarganya.
Lebih menarik apabila Melvyn tidak melepaskan peluang untuk mengambil bahagian dalam beberapa acara sukaneka yang diadakan itu.
Presiden Kelab Kakitangan Rekreasi (SRC) Canon, Thomas Chinniah ketika ditemui melahirkan rasa bangga kerana dapat menghimpunkan begitu ramai ahli keluarga Canon pada tahun ini.
“Ia bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim malah, dapat mengumpulkan sesama kakitangan dan keluarga masing-masing malah dapat menjalankan aktiviti yang bermanfaat kepada kakitangan.
“Penganjuran hari keluarga ini juga merupakan salah satu wadah untuk menyatukan dan meningkatkan kerjasama antara semua kakitangan dari peringkat pengurusan, khidmat pelanggan, pemasaran, pengedaran dan bahagian korporat,” jelasnya.

Pada masa yang sama kata beliau, melalui hari keluarga itu juga ia dapat digunakan oleh mereka yang terlibat untuk melepaskan tekanan kerja kerana selama ini begitu tekun menumpukan perhatian terhadap kerjaya masing-masing.
Salah seorang kakitangan, Abdullah Ghani, 50, berkata, program tersebut memberi peluang untuk berkenalan dengan lebih rapat dengan kakitangan lain.
Katanya, sambutan pada program kali ini dilihat lebih meriah kerana penyertaan kakitangan lebih ramai berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Kami rata-ratanya dari bahagian yang berbeza-beza, jadi walaupun bekerja di bawah satu bumbung adakalanya tidak berpeluang bertegur sapa. Program seperti ini memberi peluang kami berkumpul lebih santai,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: